
KUALA LUMPUR, 1 November 2026 – Peugeot Motocycles Malaysia memperkenalkan model edisi terhad Speedfight 4+ GP Edition menerusi kerjasama bersama Motul, dengan hanya 50 unit ditawarkan untuk pasaran tempatan.
Diedarkan oleh Aveta International Sdn Bhd selaku pengedar rasmi Peugeot Motocycles di Malaysia, model edisi khas ini mengambil inspirasi daripada dunia perlumbaan MotoGP menerusi penampilan berkonsepkan perlumbaan yang menyerlahkan karakter sporty skuter berkenaan.
Menariknya, setiap pembelian Peugeot Speedfight 4+ GP Edition turut disertakan satu set minyak pelincir Motul, menjadikan tawaran ini lebih istimewa buat pemiliknya.
Motul Rakan Pelincir Rasmi Peugeot Motocycles
Pelancaran Speedfight 4+ GP Edition turut menandakan kerjasama Motul sebagai rakan pelincir rasmi Peugeot Motocycles.
Menerusi kerjasama ini, semua pengedar sah Peugeot Motocycles di Malaysia akan menyediakan rangkaian minyak pelincir Motul bagi memastikan pelanggan mendapat akses kepada produk pelinciran berprestasi tinggi ketika melakukan penyelenggaraan motosikal mereka.
Set minyak pelincir yang disertakan bersama setiap unit Speedfight 4+ GP Edition merangkumi:

- Motul Scooter Power LE MB 5W-40 untuk enjin.
- Motul Scooter Gear Plus 80W-90 untuk sistem transmisi.
Harga Peugeot Speedfight 4+ GP Edition
Ditawarkan pada harga bermula RM10,388, Peugeot Speedfight 4+ GP Edition boleh didapati menerusi semua pengedar sah Peugeot Motocycles di seluruh negara.
Dengan pengeluaran terhad kepada hanya 50 unit untuk pasaran Malaysia, model ini pastinya menjadi pilihan menarik buat peminat skuter yang mahukan penampilan eksklusif berinspirasikan dunia perlumbaan.
Pelanggan boleh mendapatkan maklumat lanjut serta lokasi pengedar sah menerusi laman sesawang rasmi Peugeot Motocycles Malaysia di https://www.peugeot-motocycles.my/dealers.
Spesifikasi Peugeot Speedfight 4+ GP Edition
Dari segi mekanikal, Speedfight 4+ GP Edition dikuasakan enjin SmartMotion® satu silinder, empat lejang, penyejukan cecair berkapasiti 150cc.
Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 9.3 kW (sekitar 12.5 hp) pada 7,500 rpm dan tork 13.2 Nm pada 5,500 rpm, dengan kelajuan maksimum mencapai 100 km/j.
Ia turut dilengkapi tangki bahan api berkapasiti 7.4 liter dengan penggunaan bahan api sehingga 2.7 liter bagi setiap 100 km serta memenuhi piawaian emisi Euro 4.
Bagi aspek keselamatan, skuter ini dilengkapi sistem brek ABS berkembar, manakala penggunaan rim aloi ringan dipadankan dengan tayar bersaiz 130/60-13 pada bahagian depan dan belakang.
Berikut spesifikasi dimensinya:
- Panjang: 1,908 mm
- Lebar: 715 mm
- Tinggi: 1,135 mm
- Jarak roda: 1,319 mm
- Kelegaan bumi: 136 mm
- Berat bersih: 125 kg
Dengan gabungan gaya sporty, spesifikasi praktikal dan pakej minyak pelincir Motul, Peugeot Speedfight 4+ GP Edition tampil sebagai edisi khas yang cukup eksklusif untuk pasaran Malaysia, lebih-lebih lagi dengan jumlah pengeluaran yang hanya dihadkan kepada 50 unit.







