
Kehadiran MODENAS Z650 S membawa nafas baharu kepada keluarga Z650. Dengan rekaan Sugomi lebih agresif, panel badan serba baharu, lampu LED serta paparan TFT berwarna 4.3 inci dengan sambungan telefon pintar, model ini jelas tampil lebih moden berbanding generasi terdahulu.
TW Media berpeluang menguji jentera ini menerusi konvoi Modenas dan Kawasaki dari Kawasaki Technical Centre, Shah Alam ke Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang sempena MalaysianGP minggu lalu. Sabtu, penulis menyertai konvoi bersama kira-kira 250 pemilik motosikal Kawasaki dan Modenas, manakala Ahad pula perjalanan diteruskan berdua bersama isteri sebagai pembonceng.
Di jalan raya, perkara paling menyerlah ialah kelincahannya. Z650 S cukup nimble ketika mencelah dan bergerak dalam kesesakan trafik. Enjin parallel twin 649cc menghasilkan 68PS dan 64Nm, dengan penghantaran kuasa linear yang mudah dikawal. Sistem Kawasaki Traction Control (KTRC) dua tahap bersama ABS turut memberikan keyakinan tambahan.
Brek Nissin dengan cakera berkembar 300mm di hadapan memberikan kuasa membrek yang memadai. Bagaimanapun, talaan monoshock belakang dirasakan agak lembut dan sedikit membuai ketika mengambil selekoh. Pemilik baharu mungkin mahu menilai semula tetapan preload mengikut berat dan gaya tunggangan masing-masing.
Dengan harga RM35,600, Z650 S (tanpa insuran dan cukai jalan) bukan sekadar perubahan kosmetik. Ia menawarkan ergonomik, teknologi dan karakter tunggangan lebih segar, walaupun enjin dan asas mekanikal masih dikekalkan.
Nota editorial: Pengalaman pengendalian, brek dan suspensi dalam artikel adalah berdasarkan pengalaman tunggangan. Monoshock belakang mempunyai pelarasan preload, jadi kesesuaian tetapan bergantung kepada berat penunggang, pembonceng dan muatan.





