Wing Hin Motorsports Sasar Penamat Terbaik Di Final Super Taikyu 2026

Wing Hin Motorsports bakal menutup kempen sulung dalam Japanese Super Taikyu Series 2026 Ahad ini dengan sasaran meraih satu lagi podium, malah tidak menolak peluang memburu kemenangan pertama di Fuji Speedway.

Pasukan yang kini berada di kedudukan ketujuh keseluruhan kategori ST-Z dengan 54 mata itu akan beraksi pada pusingan ketujuh dan terakhir menerusi perlumbaan endurance empat jam.

Cabaran pasukan menerusi jentera #338 Toyota GR Supra GT4 EVO2 akan digalas dua pelumba Malaysia, Naquib Azlan dan Amer Harris, bersama pelumba Jepun, Shuji Maeshima.

Sepanjang enam pusingan terdahulu, Wing Hin Motorsports berjaya mencatat empat keputusan dalam kelompok lima terbaik, termasuk meraih podium pertama apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua di Sportsland Sugo.

Naquib menyifatkan musim sulung tersebut sebagai pengalaman cukup berharga buat pasukan, khususnya dalam memahami persaingan sengit serta aspek teknikal jentera GT4 ketika berdepan pasukan kilang berpengalaman di Jepun.

Menurutnya, usaha memperbaiki tetapan jentera, pengurusan tayar dan gaya pemanduan pada setiap pusingan membolehkan pasukan menunjukkan perkembangan konsisten sepanjang musim.

Selepas memulakan kempen di Mobility Resort Motegi dengan kedudukan ketujuh kategori ST-Z, mereka kemudian meraih tempat kelima di Suzuka sebelum menamatkan perlumbaan 24 jam di Fuji pada kedudukan ke-11.

Wing Hin Motorsports bangkit di Sugo dengan podium kedua, diikuti tempat kelima di Autopolis dan keempat di Okayama.

Sementara itu, Amer Harris yakin pasukan mempunyai kelajuan untuk mencabar kelompok hadapan selepas membuktikan kemampuan mereka sepanjang musim ini.

Pelumba berusia 22 tahun itu menyasarkan satu lagi podium di Fuji, selain berharap dapat menghadiahkan kemenangan pertama Super Taikyu kepada pasukan.

Penyertaan dalam kejohanan endurance utama Jepun itu merupakan sebahagian daripada usaha Wing Hin Motorsports mengembangkan program perlumbaan serantau serta membangunkan bakat pelumba muda Malaysia.

Selain Super Taikyu, pasukan itu turut beraksi dalam Toyota GAZOO Racing GR86/BRZ Cup Clubman Series di Jepun sebagai juara bertahan, selain Thailand Super Series.

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Search

Archives