Portimao Bakal Saksikan Perayaan Juara Dunia 2026?

Wandi

Grand Prix Portugal di Litar Antarabangsa Algarve, Portimao, bakal menjadi pentas penting buat dua pelumba Sepanyol, Marc Marquez dan Manuel Gonzalez apabila kedua-duanya berpeluang mengesahkan kejuaraan dunia masing-masing bagi musim 2026.

Marc berpeluang menambah koleksi kejuaraan dunia dalam kelas MotoGP, manakala Gonzalez pula memburu gelaran sulungnya dalam kelas Moto2 selepas melalui persaingan sengit sepanjang musim ini.

Marc Marquez – MotoGP

Marc tiba di Portimao dengan mengumpul 431 mata, mendahului Jorge Martin yang berada di tempat kedua dengan 371 mata. Marco Bezzecchi pula di kedudukan ketiga dengan 357 mata.

Kelebihan 60 mata itu meletakkan Marc dalam kedudukan cukup baik untuk mengesahkan kejuaraan seawal perlumbaan Sprint pada Sabtu.

Marc hanya perlu menamatkan Sprint dengan kelebihan sekurang-kurangnya 62 mata ke atas Martin untuk mengunci gelaran, mengambil kira kelebihan kemenangan perlumbaan utama sebagai pemisah sekiranya mata seri. Jika Marc memenangi Sprint, kejuaraan menjadi miliknya tanpa mengira keputusan Martin.

Setakat ini, Marc sudah mengumpul tujuh gelaran dunia kelas premier. Secara keseluruhan, beliau memiliki sembilan gelaran dunia merangkumi kelas 125cc, Moto2 dan MotoGP. Kejuaraan kali ini bakal menjadi gelaran ke-10 dalam kariernya serta yang kelapan dalam kelas premier.

Manuel Gonzalez – Moto2

Bagi Gonzalez, cabarannya lebih mencabar. Pelumba Liqui Moly Dynavolt Intact GP itu kini mengumpul 286.5 mata, mendahului Izan Guevara yang berada di tempat kedua dengan 273 mata.

Perbezaan antara mereka ialah 13.5 mata, manakala Ivan Ortola di tempat ketiga sudah ketinggalan 67 mata dan tidak lagi berpeluang mengejar kejuaraan dengan hanya dua perlumbaan berbaki.

Untuk mengesahkan kejuaraan di Portimao, Gonzalez perlu menambah sekurang-kurangnya 12 mata berbanding Guevara dalam perlumbaan tersebut. Ini akan membolehkan kelebihannya meningkat kepada sekurang-kurangnya 25.5 mata, sekali gus tidak dapat dikejar pada pusingan terakhir di Valencia.

Sekiranya gagal mencapai sasaran itu, perebutan gelaran akan berlanjutan ke Valencia.

Menariknya, Gonzalez sebenarnya sudah mempunyai satu gelaran dunia iaitu WorldSSP300 pada 2019. Beliau kini memburu gelaran dunia kedua dalam kariernya dan yang pertama dalam kelas Moto2.

Dua pelumba ini mempunyai misi berbeza di Portimao. Marc mahu menambah sejarah dalam kelas premier, manakala Gonzalez mahu melengkapkan perjalanan kariernya dengan kejuaraan Moto2 selepas muncul naib juara pada musim 2025.

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Search

Archives