
Alex Marquez kini memulakan proses pemulihan selepas selamat menjalani pembedahan di Hospital Ruber Internacional, Madrid, bagi menangani masalah kecederaan bahu kanan yang berlarutan sejak kemalangan di Catalunya GP pada Mei lalu.
Pembedahan yang berlangsung tanpa sebarang komplikasi itu turut melibatkan pembuangan plat pada tulang selangka kanan dan tangan kiri, selain prosedur artroskopi bagi membuang bursa yang menyebabkan masalah geseran pada bahu.
Pelumba BK8 Gresini Racing itu sebelum ini mengesahkan tidak akan menyertai QatarGP hujung minggu ini bagi memberi ruang kepada proses pemulihan. Alex berharap dapat kembali beraksi pada GP Portugal di Portimao, 20 hingga 22 November.
Selepas sekian lama menahan kesakitan dan berlumba dengan bantuan ubat tahan sakit, pembedahan ini menjadi langkah penting buat Alex untuk kembali ke tahap kecergasan terbaik menjelang dua pusingan terakhir musim 2026.