
SEPANG, 30 Oktober 2026 – CFMOTO secara rasmi memperkenalkan model sportbike terbaharunya, CFMOTO 500SR ke pasaran Malaysia bersempena PETRONAS Grand Prix of Malaysia 2026 yang berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November ini.
Ditawarkan pada harga RM29,988, CFMOTO 500SR hadir dalam dua pilihan warna iaitu Galaxy Grey dan Nebula White. Model ini boleh didapati menerusi rangkaian pengedar sah CFMOTO Malaysia.
Dari segi prestasi, CFMOTO 500SR dikuasakan enjin empat silinder sebaris, empat lejang, DOHC dan penyejukan cecair berkapasiti 500cc. Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 58kW pada 12,500rpm, yang boleh meningkat kepada 61kW apabila sistem RAM AIR berfungsi.
Ia turut menawarkan tork maksimum 49Nm pada 10,000rpm serta dilengkapi sistem suntikan bahan api elektronik BOSCH bagi memastikan penyaluran kuasa yang lancar dan responsif.
Antara teknologi enjin yang digunakan termasuk sistem pengambilan udara berkelajuan tinggi RAM AIR, silinder aluminium, omboh dan aci engkol tempa, rod penyambung jenis fracture-split serta sistem pemasaan BorgWarner.
Reka Bentuk Sporty dan Sistem Suspensi Boleh Laras
Dari sudut reka bentuk, CFMOTO 500SR menampilkan penampilan agresif dengan panel badan penuh, garisan sporty, bahagian belakang kompak dan aerodinamik serta ekzos berkedudukan tinggi dengan kemasan bersudut.
Model ini menggunakan rangka tiub keluli kromium-molibdenum 20 CrMo yang dipadankan dengan fork hadapan jenis USD berdiameter 41mm. Suspensi hadapan menawarkan pelarasan 30 tahap prabeban dan 16 tahap lantunan, manakala suspensi belakang jenis multi-link turut menyediakan pelarasan prabeban dan lantunan.
Jarak gerak suspensi ditetapkan pada 120mm di hadapan dan 130mm di belakang. Rim aloi aluminium pula dipadankan dengan tayar CST S3N bersaiz 120/70 R17 di hadapan dan 160/60 R17 di belakang.
Sistem membrek menggunakan cakera berkembar 300mm di hadapan dengan angkup NISSIN empat omboh bertentangan, manakala bahagian belakang dilengkapi cakera tunggal 220mm bersama angkup jenis terapung.
Dilengkapi Pelbagai Teknologi Keselamatan dan Kemudahan
Bagi aspek keselamatan, CFMOTO 500SR dilengkapi sistem ABS dua saluran dengan mod Supermoto, sistem kawalan cengkaman (TCS) dengan dua tahap pelarasan serta pilihan untuk dinyahaktifkan.
Ia turut dilengkapi penyerap hentak stereng yang boleh dilaraskan sehingga 24 tahap dan sistem isyarat berhenti kecemasan (ESS).
Melengkapkan ciri teknologinya ialah paparan TFT berwarna bersaiz 6.2 inci dengan fungsi MotoPlay, port pengecasan USB Type-A dan Type-C beroutput 18W serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).
Sistem pencahayaan hadapan, belakang dan lampu isyarat menggunakan teknologi LED. Turut disediakan ialah quickshifter untuk pertukaran gear ke atas serta pemegang tangan berpemanas dengan lima tahap pelarasan.
CFMOTO 500SR mempunyai ketinggian tempat duduk antara 790mm hingga 795mm, jarak roda 1,395mm dan kapasiti tangki bahan api 15.5 liter. Berat motosikal bersama cecair operasi pula ialah 192kg.
Ia turut menggunakan klac berbilang plat jenis basah dengan fungsi slipper clutch serta memenuhi piawaian emisi Euro 5+.
Waranti Dua Tahun
Setiap pembelian CFMOTO 500SR turut disertakan perlindungan waranti selama dua tahun atau sehingga 20,000km, mengikut mana-mana yang terdahulu.
Bagaimanapun, sekiranya perbatuan melebihi 20,000km dalam tempoh dua tahun tersebut, komponen enjin kekal dilindungi di bawah waranti perbatuan tanpa had bagi baki tempoh waranti.
Selain itu, pemilik juga boleh menikmati kemudahan pembelian alat ganti tulen secara dalam talian menerusi CFMOTO Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, pengunjung PETRONAS Grand Prix of Malaysia 2026 turut berpeluang menyertai sesi bertemu peminat bersama pelumba Daniel Holgado (#96), David Alonso (#80), Maximo Quiles (#28) dan Marco Morelli (#97) pada 31 Oktober 2026, jam 4.30 petang.
Dengan harga RM29,988, CFMOTO 500SR menawarkan pakej enjin empat silinder 500cc bersama kelengkapan teknologi, ciri keselamatan dan komponen yang menarik dalam segmen motosikal sportbike pertengahan.












