
SEPANG, 30 Oktober 2026 – Didi Group selaku pengimport dan pengedar tunggal jenama Aprilia di Malaysia memperkenalkan Aprilia RS 457 GP Replica, sebuah edisi khas yang diinspirasikan daripada jentera perlumbaan MotoGP Aprilia, sempena PETRONAS Grand Prix of Malaysia 2026.
Preview model istimewa ini telah disempurnakan oleh pelumba Aprilia Racing, Marco Bezzecchi, sekali gus membawa DNA perlumbaan Aprilia lebih dekat kepada peminat motosikal tempatan.
Rekaan diinspirasikan jentera RS-GP
Mengambil inspirasi daripada jentera RS-GP yang digunakan dalam saingan MotoGP, Aprilia RS 457 GP Replica tampil dengan kemasan warna hitam yang menggabungkan permukaan berkilat dan matte, selain grafik berkonsepkan perlumbaan.
Penampilannya turut diperkemaskan menerusi penggunaan komponen aluminium dengan kemasan gelap pada bahagian rangka, lengan ayun dan plat stereng. Perincian ini bukan sahaja menyerlahkan karakter sporty, malah memberikan penampilan lebih eksklusif berbanding model standard.
Kelengkapan tambahan untuk karakter lebih sporty



Selain perubahan kosmetik, RS 457 GP Replica turut menerima beberapa peningkatan dari aspek kelengkapan.
Antaranya termasuk sistem quickshifter yang membolehkan penukaran gear ke atas dilakukan tanpa menggunakan klac, pad brek hadapan yang dinaik taraf untuk prestasi membrek lebih baik serta penutup tempat duduk belakang jenis single-seat cowl.
Gabungan kelengkapan ini memberikan penampilan lebih menyerupai sebuah jentera perlumbaan, selain meningkatkan pengalaman tunggangan yang lebih sporty.
Enjin 457cc dikekalkan

Dari aspek mekanikal, Aprilia RS 457 GP Replica masih menggunakan enjin dua silinder selari berkapasiti 457cc seperti model RS 457 standard.
Digabungkan dengan pembinaan ringan dan karakter pengendalian yang responsif, model ini menawarkan pengalaman tunggangan sporty yang sesuai untuk peminat motosikal yang mahukan prestasi serta praktikaliti bagi kegunaan harian.
Harga RM35,900 di Malaysia
Aprilia RS 457 GP Replica ditawarkan pada harga jualan RM35,900 dan bakal tersedia menerusi rangkaian pengedar sah Aprilia di seluruh Malaysia.
Pengenalan model ini sempena PETRONAS Grand Prix of Malaysia 2026 menjadi platform cukup signifikan dalam menghubungkan barisan motosikal jalanan Aprilia dengan legasi serta keterlibatan jenama itu dalam perlumbaan antarabangsa.
Dengan penampilan berinspirasikan jentera MotoGP, kelengkapan tambahan dan identiti perlumbaan yang lebih menyerlah, Aprilia RS 457 GP Replica membawa semangat litar ke jalan raya untuk generasi penunggang baharu.

















