
SHAH ALAM, 30 Oktober 2026 – Kawasaki menerusi Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (MODENAS) dan Edaran Modenas Sdn. Bhd. (EMOS) mengumumkan harga rasmi bagi dua model berprestasi tinggi, iaitu Kawasaki Ninja ZX-10RR 2026 dan Ninja H2 Carbon di Malaysia.
Pengumuman tersebut dibuat sempena PETRONAS Grand Prix of Malaysia 2026 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang dari 30 Oktober hingga 1 November 2026.
Kawasaki Ninja ZX-10RR 2026 ditawarkan pada harga runcit disyorkan RM169,900, manakala Ninja H2 Carbon dijual pada harga RM199,900. Kedua-dua harga tersebut tidak termasuk kos pendaftaran dan insurans.
Kawasaki Ninja ZX-10RR 2026 Terhad 500 Unit Seluruh Dunia











Menjadi antara tarikan utama, Ninja ZX-10RR merupakan model edisi pengeluaran terhad dengan hanya 500 unit ditawarkan di seluruh dunia.
Dibangunkan berasaskan platform Ninja ZX-10R, model satu tempat duduk ini menerima beberapa penambahbaikan khusus untuk meningkatkan keupayaan tunggangan di litar.
Ia dikuasakan enjin empat silinder sebaris berkapasiti 998cc yang menggunakan piston ringan Pankl serta rod penyambung titanium bagi memberikan respons pada putaran enjin tinggi.
Antara kelengkapan lain termasuk tiub dalaman fork bersalut titanium bagi mengurangkan geseran, tetapan suspensi belakang yang diperbaharui serta tayar Pirelli Diablo Supercorsa SP V3.
Ninja ZX-10RR turut dilengkapi winglet aerodinamik bersepadu bagi membantu meningkatkan kestabilan ketika ditunggang pada kelajuan tinggi. Model ini ditawarkan dalam warna Lime Green.
Dari segi warisan perlumbaan, keluarga Ninja ZX-10RR telah menyumbang kepada tujuh gelaran Kejuaraan Dunia Superbike (WorldSBK) kategori pelumba.
Pencapaian tersebut merangkumi gelaran Tom Sykes pada 2013 serta enam kejuaraan berturut-turut Jonathan Rea dari 2015 hingga 2020.
Kawasaki turut meneruskan penyertaan dalam WorldSBK 2026 bersama Garrett Gerloff dan telah mengesahkan program perlumbaannya untuk musim 2027.
Kawasaki Ninja H2 Carbon Menghasilkan Kuasa Sehingga 243 PS


















Berbeza dengan ZX-10RR yang menumpukan keupayaan di litar, Ninja H2 Carbon dibangunkan sebagai motosikal hypersport supercharged yang sah digunakan di jalan raya.
Model ini menggunakan enjin empat silinder sebaris 998cc yang dipadankan dengan sistem pengecas lampau jenis centrifugal supercharger yang dibangunkan khusus oleh Kawasaki.
Hasilnya, enjin tersebut mampu menghasilkan kuasa maksimum 231 PS pada 11,500 rpm, dengan angka tersebut meningkat kepada 243 PS menerusi bantuan sistem Ram Air.
Pembangunan sistem supercharger ini turut memanfaatkan kepakaran pelbagai bahagian dalam kumpulan Kawasaki Heavy Industries, termasuk teknologi kejuruteraan aeroangkasa dan turbin gas.
Dari aspek aerodinamik, Ninja H2 Carbon dilengkapi pemegang cermin sisi berbentuk airfoil, Gurney flaps serta chin spoiler bagi membantu menghasilkan daya mendap dan meningkatkan kestabilan pada kelajuan tinggi.
Ia turut menampilkan panel atas hadapan gentian karbon, casis jenis trellis serta sistem bantuan elektronik penunggang yang canggih.
Ninja H2 Carbon ditawarkan dalam kemasan warna Matte Spark Black/Candy Flat Blazed Green.
Dipamerkan Sepanjang PETRONAS Grand Prix of Malaysia 2026
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan, Ninja ZX-10RR mengetengahkan legasi perlumbaan Kawasaki menerusi sebuah motosikal berpengeluaran terhad yang lebih fokus kepada prestasi.
Sementara itu, Ninja H2 Carbon membawa pendekatan berbeza dengan menggabungkan prestasi enjin supercharged bersama kepakaran kejuruteraan Kawasaki.
Kedua-dua model ini akan dipamerkan di reruai Kawasaki/MODENAS di Litar Antarabangsa Sepang sepanjang PETRONAS Grand Prix of Malaysia 2026, dari 30 Oktober hingga 1 November 2026.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi MODENAS di www.modenas.my atau menghubungi talian bebas tol 1-800-880-008 dan WhatsApp Careline di +6019-5708135.