
Satu sesi penggambaran komersial dipercayai secara tidak sengaja mencetuskan perhatian dalam paddock Formula 1, sekali gus menghangatkan lagi desas-desus mengenai kemungkinan kerjasama baharu antara Red Bull Racing dan jenama sukan gergasi dari Jerman, Adidas.
Beberapa keping gambar yang mula tersebar di media sosial memaparkan Max Verstappen sedang bersandar santai pada tayar hadapan kiri jentera RB22 miliknya sambil mengenakan pakaian pasukan yang dipercayai belum dilancarkan secara rasmi.
Apa yang mencuri perhatian pastinya logo ikonik Adidas berserta rekaan tiga jalur yang jelas kelihatan pada bahagian dada dan bahu Verstappen. Kemunculan identiti jenama tersebut mencetuskan spekulasi bahawa Adidas bakal mengambil alih peranan Castore sebagai pembekal pakaian rasmi pasukan Red Bull.

Menariknya, petunjuk kerjasama ini bukan sekadar terhad kepada pakaian pasukan. Gambar-gambar penggambaran yang bocor turut memperlihatkan logo Adidas berwarna putih tertera dengan jelas pada bahagian sisi jentera RB22 sekali gus menguatkan lagi spekulasi mengenai perubahan penjenamaan tersebut.
Desas-desus mengenai kemungkinan Adidas menggantikan Castore sebagai pembekal pakaian Red Bull mula mendapat perhatian serius pada awal tahun ini. Laporan awal oleh BILD mendedahkan bahawa kedua-dua pihak sedang mengadakan rundingan bagi memeterai kontrak besar membabitkan pengeluaran pakaian dan barangan rasmi pasukan, yang dijangka bermula pada musim Formula 1 2027.
Nilai perjanjian yang diperkatakan itu juga bukan calang-calang apabila kontrak berkenaan dilaporkan bernilai sekitar RM124 juta setahun. Jika dimuktamadkan, kerjasama tersebut dijangka berlangsung sekurang-kurangnya selama tiga musim sekali gus meletakkan Red Bull dalam ekosistem jenama tiga jalur berkenaan.
Bagi Adidas, pengambilalihan operasi barangan rasmi Red Bull yang mempunyai nilai komersial tinggi itu bakal menjadi satu lagi langkah besar dalam usaha memperluaskan pengaruh mereka dalam dunia sukan permotoran.
Jenama pakaian sukan dari Jerman itu sebelum ini sudah pun mengukuhkan kehadirannya dalam grid Formula 1 menerusi kerjasama bersama Mercedes dan Audi. Kehadiran Red Bull dalam portfolio tersebut pastinya akan memperkukuh lagi kedudukan Adidas dalam salah satu pentas sukan permotoran paling berprestij di dunia.
Bagaimanapun, meskipun Verstappen sudah dilihat mengenakan pakaian yang memaparkan identiti Adidas, pihak Red Bull mahupun pengurusan Adidas masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi mengesahkan pertukaran pembekal pakaian untuk musim 2027.
Buat masa ini, segala petunjuk yang muncul masih kekal sebagai spekulasi. Sehingga pengumuman rasmi dibuat, Castore masih kekal sebagai pembekal pakaian rasmi pasukan Red Bull.
Teruskan Bersama Four Wheels..!