
MILAN, ITALI – Honda memperkenalkan generasi baharu CBR1000RR-R Fireblade 2027 di EICMA 2026, dengan penampilan versi istimewa HRC Works Edition yang dibangunkan khusus bagi meningkatkan daya saing Honda dalam Kejuaraan Dunia Superbike (WorldSBK).
Menariknya, pengenalan model baharu ini hadir selepas Honda memperlihatkan jentera CBR1000RR-R generasi terbaharu yang masih diselubungi corak penyamaran (camouflage) ketika sesi ujian pascamusim WorldSBK di Litar Jerez, Sepanyol pada 22 dan 23 Oktober lalu.
Dalam sesi tersebut, tiga pelumba Honda HRC iaitu Somkiat Chantra, Jake Dixon dan pelumba ujian Jonathan Rea diberi peluang menguji jentera berkenaan sebagai sebahagian daripada persiapan pembangunan pakej perlumbaan untuk musim 2027.
Pada hari kedua ujian, Chantra mencatat masa terpantas dalam kalangan semua pelumba yang hadir dengan catatan 1 minit 38.703 saat. Rea berada di tempat kedua, hanya 0.163 saat di belakang, manakala Dixon melengkapkan kedudukan tiga teratas untuk Honda.
Ujian tersebut menjadi petunjuk jelas bahawa Honda sedang mempersiapkan perubahan besar terhadap Fireblade bagi kembali mencabar kedudukan pengeluar utama dalam WorldSBK.
75 peratus komponen dibangunkan semula
Bagi model 2027, Honda menyatakan kira-kira 75 peratus komponen CBR1000RR-R telah direka semula dengan konsep pembangunan Total Control for the Track.
Antara perubahan utama melibatkan casis aluminium jenis twin-tube yang dibangunkan semula bagi mendapatkan keseimbangan antara kestabilan, cengkaman ketika mengambil selekoh serta pengendalian lebih lincah.
Struktur casis baharu itu turut menyumbang kepada pengurangan berat sebanyak 440 gram berbanding model terdahulu. Bahagian swingarm aluminium juga menerima reka bentuk baharu dengan talaan kekakuan bagi meningkatkan rasa cengkaman tayar belakang ketika mengambil selekoh.
Honda turut menggunakan tangki bahan api titanium bagi mengurangkan berat keseluruhan jentera.
HRC Works Edition dengan spesifikasi perlumbaan
Tumpuan utama pastinya diberikan kepada CBR1000RR-R Fireblade HRC Works Edition yang diperkenalkan sebagai model homologasi untuk memenuhi keperluan penyertaan dalam WorldSBK.
Varian ini dibangunkan dengan komponen khusus yang lebih menjurus kepada penggunaan di litar, termasuk sayap hadapan (front winglets), mudguard hadapan gentian karbon serta panel saluran udara belakang daripada bahan gentian karbon.
Sistem suspensi menggunakan fork hadapan Öhlins NPX dan penyerap hentak belakang Öhlins TTX36 yang boleh dilaraskan secara mekanikal. Sistem brek pula menggunakan komponen Brembo Hypure.
HRC Works Edition turut menawarkan komponen HRC Racing Kit seperti unit PGM-FI dan ignition, sistem pertukaran gear bottom-neutral serta beberapa komponen perlumbaan lain bagi memenuhi keperluan peraturan perlumbaan.
Tiga pilihan model untuk 2027
Untuk pasaran 2027, Honda menawarkan tiga pilihan dalam keluarga CBR1000RR-R Fireblade iaitu Fireblade standard, Fireblade SP dan HRC Works Edition.
Fireblade SP hadir dengan sistem suspensi elektronik Öhlins Smart-EC3.0, manakala HRC Works Edition diberikan kelengkapan khusus yang lebih dekat dengan spesifikasi perlumbaan.
Menariknya, walaupun dibangunkan sebagai model homologasi WorldSBK, HRC Works Edition masih direka supaya boleh digunakan di jalan raya tertakluk kepada peraturan setiap pasaran.
Misi baharu Honda dalam WorldSBK
Pembangunan CBR1000RR-R generasi baharu ini membawa harapan besar buat Honda yang mahu kembali mencabar kejuaraan WorldSBK.
Dengan pengalaman Jonathan Rea sebagai pelumba ujian serta penglibatan pelumba utama Somkiat Chantra dan Jake Dixon dalam pembangunan jentera, Honda dilihat sedang memberikan tumpuan serius untuk meningkatkan prestasi Fireblade.
Ujian di Jerez baru-baru ini memberikan gambaran awal mengenai hala tuju baharu Honda, manakala pengenalan HRC Works Edition di EICMA 2026 memperlihatkan bagaimana teknologi perlumbaan tersebut diterjemahkan kepada model produksi.
Daripada litar ke jalan raya, Fireblade 2027 menjadi kesinambungan falsafah Honda yang percaya bahawa perlumbaan merupakan medan terbaik untuk mencipta teknologi masa hadapan.
Seperti yang ditegaskan menerusi kempen HRC, “Without racing, there is no Honda.”



























