
Rapido Malaysia tampil dengan sokongan istimewa buat pasukan Code Motorsports menjelang Grand Prix Malaysia 2026 apabila bakal memperkenalkan rekaan livery khas pada jentera Moto3 pasukan tersebut. Penampilan istimewa itu disediakan khusus bagi meraikan perlumbaan di laman sendiri, sekali gus memberikan sentuhan identiti Malaysia kepada pasukan yang bersaing dalam Kejuaraan Dunia Moto3.

Rekaan tersebut menggabungkan beberapa elemen kebanggaan negara termasuk Menara Berkembar Petronas, corak batik serta bunga raya sebagai bunga kebangsaan Malaysia. Gabungan ini bukan sekadar memberikan penampilan berbeza, malah membawa simbolik tersendiri dalam meraikan kehadiran pasukan Code Motorsports di bumi Malaysia.

Untuk Grand Prix Malaysia kali ini, Rapido meneruskan sokongan terhadap dua pelumba tajaan mereka, Cormac Buchanan dan Ruche Moodley. Kedua-duanya bakal membawa cabaran Code Motorsports dalam perlumbaan yang cukup bermakna buat penaja dan pasukan tersebut.

Bagi Rapido, Grand Prix Malaysia merupakan peluang terbaik untuk memberikan sokongan secara langsung kepada sukan permotoran antarabangsa di hadapan penyokong tempatan. Kehadiran livery khas ini pastinya menambahkan lagi keistimewaan penampilan Code Motorsports sepanjang hujung minggu perlumbaan di Sepang.
