
Marc Marquez memulakan aksi PETRONAS Malaysian Grand Prix 2026 dengan cukup cemerlang apabila muncul pelumba terpantas dalam sesi Practice di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.
Pelumba Ducati Lenovo Team itu mencatatkan masa terpantas 1 minit 57.000 saat untuk menduduki tempat pertama, sekali gus menunjukkan prestasi yang cukup meyakinkan dalam usaha memburu kejuaraan dunia MotoGP musim ini.
Adiknya, Alex Marquez (BK8 Gresini Racing), memberikan cabaran terdekat apabila menamatkan sesi di kedudukan kedua, manakala Ai Ogura (Trackhouse Racing) melengkapkan kelompok tiga terpantas. Pedro Acosta pula berada di tempat keempat diikuti Fabio Di Giannantonio di kedudukan kelima.
Menariknya, Marc turut mengalami kemalangan di selekoh terakhir (Turn 15) ketika cuba memperbaiki catatan masa. Bagaimanapun, beliau berjaya kembali ke pit dan meneruskan sesi menggunakan jentera kedua sebelum mencatatkan masa terbaiknya.
Keputusan ini memberikan permulaan yang positif buat Marc di Sepang, lebih-lebih lagi dengan Jorge Martin yang merupakan pencabar terdekat kejuaraan terpaksa menghentikan aksinya lebih awal pada sesi Practice akibat keadaan fizikalnya yang masih belum pulih sepenuhnya.
Marc kini mempunyai permulaan yang baik untuk menghadapi baki hujung minggu perlumbaan di Sepang.