
KUALA LUMPUR, 18 Oktober 2026 – Peugeot Motocycles Malaysia mengumumkan harga baharu bagi skuter pengembaraan Peugeot XP400 pada RM33,990, susulan ketibaan rasmi unit import sepenuhnya (CBU) di pasaran tempatan.
Penetapan harga baharu ini dibuat bagi menawarkan XP400 pada harga yang lebih kompetitif kepada pengguna, tanpa mengubah spesifikasi sedia ada model berkenaan.
Dalam masa sama, setiap pembelian XP400 turut disertakan dengan tawaran Pakej Pengembaraan (Adventure Package) yang merangkumi aksesori tulen Peugeot bernilai RM2,000, sekali gus melengkapkan keperluan penunggang untuk perjalanan yang lebih jauh.
Pakej Pengembaraan Bersama Aksesori Tulen Peugeot
Menerusi pakej tersebut, pelanggan boleh mendapatkan Peugeot XP400 bersama kotak simpanan atas (top box) dan palang pelindung (crash bar) tulen Peugeot pada harga keseluruhan RM35,990.
Kedua-dua aksesori ini direka untuk meningkatkan aspek praktikaliti serta memberikan perlindungan tambahan ketika menunggang, khususnya bagi mereka yang gemar melakukan perjalanan jarak jauh.
Dari segi penampilan, XP400 mengekalkan reka bentuk berinspirasikan pengembaraan dengan pendirian badan yang tegap dan gaya lasak, sesuai untuk penunggang yang mahukan sebuah skuter dengan karakter berbeza daripada model kegunaan harian konvensional.
Model ini ditawarkan dalam dua pilihan warna, iaitu Mad Black dan Satin Technium, dengan unit terhad untuk pasaran tempatan.
Peluang Menang Tiket Gold VIP Konsert Big Bang
Selain pengumuman harga baharu, Peugeot Motocycles Malaysia turut memperkenalkan kempen “Test Ride. Post. Share. Win.” yang memberi peluang kepada peserta untuk memenangi dua tiket Gold VIP ke konsert Big Bang.
Kempen ini terbuka kepada mereka yang melakukan pandu uji bagi model Peugeot XP400, Django atau Speedfight 4+ di pengedar sah, siri jelajah atau acara yang mengambil bahagian.
Untuk menyertai kempen ini, peserta perlu melakukan pandu uji, merakam pengalaman tersebut dan memuat naik hantaran ke Instagram, Facebook atau TikTok. Hantaran berkenaan mestilah menandai akaun rasmi @peugeotmotocyclesmy serta menggunakan tanda pagar #PeugeotVIPRide.
Pemenang akan dipilih berdasarkan jumlah penglibatan tertinggi pada hantaran yang dikongsikan, termasuk tanda suka dan perkongsian.
Maklumat lanjut mengenai kempen, syarat penyertaan serta senarai pengedar yang mengambil bahagian boleh didapati menerusi laman kempen rasmi di https://peugeotmotocycle-testrideandwin.manus.space/ atau laman sesawang Peugeot Motocycles Malaysia di https://www.peugeot-motocycles.my/.









