
Peminat sukan permotoran tempatan bakal disajikan dengan aksi perlumbaan berintensiti tinggi apabila MSF Merdeka Race 2026 kembali ke Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (SIC) pada 29 dan 30 Ogos ini, sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-69.
Edisi kesembilan berturut-turut acara berkenaan dijangka berlangsung meriah dengan penyertaan lebih 200 jentera perlumbaan dan 300 peserta, membabitkan aksi roda empat serta roda dua sepanjang hujung minggu.
Tarikan utama pastinya MSF SuperTurismo Merdeka 111 Endurance, perlumbaan ketahanan sejauh kira-kira 615 kilometer yang menyaksikan peserta melengkapkan 111 pusingan di litar sepanjang 5.534 kilometer.
Perlumbaan tersebut akan bermula pada 5.30 petang Ahad, 30 Ogos, sebelum para peserta berjuang sehingga hampir tengah malam, menjadikan aksi ini antara perlumbaan endurance yang cukup unik dalam kalendar motorsport tempatan.