Kawasaki Terus Perkasa Komuniti Versys Menerusi Explore The Unexplored

Mohd Osman

KUALA SAT – Kawasaki Malaysia meneruskan program Explore The Unexplored menerusi penganjuran edisi kedua daripada tiga siri yang dirancang tahun ini, membawa komuniti Kawasaki Versys menikmati pengalaman ride, camping dan aktiviti komuniti di sekitar Kuala Sat.

Program ini menghimpunkan pemilik Versys dari pelbagai negeri di Semenanjung Malaysia, termasuk Perlis, Johor, Terengganu, Kelantan dan Jerantut.

Menariknya, ada peserta yang sanggup berpatah balik dari Jerantut semata-mata untuk menyertai program ini, membuktikan kuatnya hubungan dalam komuniti Versys.

Ride Menuju Kuala Sat

Perjalanan bermula dari NZ Curry House, Wangsa Maju sebelum peserta bergerak melalui Lebuhraya Karak dan keluar di Temerloh.

Dari Temerloh, konvoi meneruskan perjalanan menuju ke Jerantut melalui laluan yang lebih mencabar, dengan selekoh, blind spot serta beberapa bahagian jalan yang memerlukan tumpuan tinggi.

Peserta turut berdepan laluan off-road dan kawasan tanah runtuh sebelum berhenti di Bukit Awan untuk berehat, bergambar dan menikmati suasana.

Dalam perjalanan, semangat setia kawan turut terserlah apabila peserta saling membantu sekiranya ada rakan yang menghadapi masalah.

Camping dan Aktiviti Komuniti

Setibanya di tapak perkhemahan, peserta diberikan kemudahan khemah yang disediakan oleh penganjur, manakala peserta berpengalaman turut hadir dengan setup camping masing-masing.

Selepas berehat pada sebelah petang, peserta dibawa ke anak sungai yang terletak di seberang tapak perkhemahan. Kesemua peserta dikehendaki menyeberangi sungai utama yang mempunyai kedalaman air sekitar paras lutut hingga pinggang untuk menuju ke checkpoint pertama. Di checkpoint tersebut, peserta berpeluang memberi makan ikan menggunakan dedak yang telah disediakan, di samping menikmati aktiviti mandi-manda di sungai.

Pada sebelah malam, sesi ice breaking menjadi ruang untuk peserta berkenalan dan berkongsi pengalaman masing-masing sebagai pemilik Versys.

Perkongsian mengenai pengalaman memiliki motosikal, perjalanan dan kehidupan sebagai sebahagian daripada komuniti Versys menjadikan suasana lebih santai serta mengeratkan hubungan antara peserta.

Mengenali Budaya Orang Asli

Hari kedua pula membawa peserta kepada pengalaman berbeza apabila mereka dibawa menaiki bot menyusuri sungai di Taman Negara untuk mengunjungi sebuah perkampungan Orang Asli.

Peserta berpeluang mengenali cara hidup masyarakat setempat, termasuk aktiviti menyumpit dan menghasilkan api.

Mereka kemudiannya dibawa ke kawasan anak sungai untuk aktiviti mandi-manda sebelum menikmati pengalaman unik kembali ke checkpoint menggunakan pelampung mengikut arus sungai.

Aktiviti tersebut turut mencetuskan pelbagai gelagat dan kenangan dalam kalangan peserta.

Malam terakhir pula diisi dengan aktiviti santai termasuk sesi karaoke sebelum program berakhir.

Bukan Sekadar Ride

Dengan yuran penyertaan sekitar RM200, peserta turut menerima makanan sepanjang program serta dua helai baju, selain menikmati jadual aktiviti yang disusun secara santai dan tidak terlalu padat.

Apa yang menjadikan Explore The Unexplored menarik ialah konsepnya yang menggabungkan aktiviti menunggang, camping, eksplorasi dan komuniti dalam satu program.

Ia bukan sekadar membawa peserta ke destinasi baharu, tetapi turut membuka ruang untuk mereka mengenali rakan-rakan baharu, berkongsi pengalaman serta mengeratkan hubungan sesama pemilik Kawasaki Versys.

Bagi Kawasaki, pendekatan seperti ini memperlihatkan bagaimana sebuah program motosikal boleh menjadi platform untuk membina komuniti yang lebih rapat melalui pengalaman yang dikongsi bersama.

Explore The Unexplored masih mempunyai satu lagi siri yang dijadualkan berlangsung di Langkawi pada tahun ini.

Maklumat lanjut mengenai program tersebut akan diumumkan oleh Kawasaki Malaysia dari semasa ke semasa.

Buat pemilik Kawasaki Versys yang berminat untuk menyertai, pastikan mengikuti saluran rasmi Kawasaki Malaysia kerana jumlah penyertaan bagi program ini adalah terhad.

Kawasaki Explore The Unexplored — sebuah perjalanan yang menemukan ride, adventure dan komuniti dalam satu pengalaman.

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Search

Archives