TVS RTR 125LC, Naked Sport 125cc untuk Pasaran Eropah

Mohd Osman

TVS Motor memperkenalkan RTR 125LC, sebuah motosikal naked sport berkapasiti 125cc yang dibangunkan khusus untuk pasaran Eropah. Model ini menyasarkan golongan penunggang muda serta pemegang lesen A1 yang ingin merasai pengalaman menunggang motosikal berprestasi dalam kategori permulaan.

Dari segi reka bentuk dan pembangunan, RTR 125LC membawa pendekatan prestasi yang menjadi sebahagian daripada identiti TVS Motor, khususnya menerusi pengalaman perlumbaan syarikat itu sejak tahun 1982.

Enjin 125cc dengan kuasa 14.7hp

TVS RTR 125LC dikuasakan enjin satu silinder 125cc, DOHC, 4-injap dengan sistem penyejukan cecair (liquid-cooled).

Enjin tersebut mampu menghasilkan kuasa maksimum 14.7hp pada 9,000rpm dan tork 12Nm pada 7,000rpm. Ia dipadankan dengan transmisi enam kelajuan serta sistem assist and slipper clutch bagi memberikan pengalaman pertukaran gear yang lebih lancar.

Gabungan ini menjadikan RTR 125LC sebuah pilihan dalam segmen motosikal ringan yang menawarkan keseimbangan antara prestasi dan praktikaliti untuk kegunaan harian.

Pintu masuk ke rangkaian motosikal TVS

Menurut TVS Motor, RTR 125LC turut berperanan sebagai model permulaan kepada rangkaian motosikal mereka di Eropah.

Antara model lain yang ditawarkan dalam rangkaian tersebut termasuk RR 310, RTR 310, Ronin dan RTX 300. Kehadiran rangkaian ini membolehkan TVS memenuhi keperluan penunggang daripada kategori motosikal permulaan sehinggalah model sport, roadster dan adventure.

Dalam masa sama, TVS turut merancang untuk membawa RTX 300 yang diperkenalkan pada EICMA 2025 ke rangkaian pengedar mereka di Eropah bagi mengukuhkan lagi kehadiran dalam segmen adventure touring.

Adakah bakal memasuki pasaran Malaysia?

Menarik untuk melihat bagaimana TVS RTR 125LC mampu bersaing dalam pasaran Eropah, khususnya bagi kategori motosikal 125cc yang menyasarkan penunggang baharu.

Bagaimanapun, model ini diperkenalkan khusus untuk pasaran Eropah dan setakat ini tiada pengumuman rasmi mengenai kemasukannya ke pasaran Malaysia. TVS juga tiada pengedar di Malaysia menyebabkan perkara ini agak sukar untuk pasaran tempatan.

Dengan pasaran tempatan yang cukup sinonim dengan motosikal seperti Yamaha 135LC, menarik juga sekiranya jenama dari India seperti TVS mula membawa lebih banyak pilihan motosikal kecil berprestasi ke Malaysia.

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Search

Archives