
Pelumba go-kart muda negara, Medina Zahra Kamaruzaman, bakal membawa cabaran Malaysia dalam kategori Junior di FIA Karting Arrive and Drive World Cup 2026 yang dijadual berlangsung di Litar Go-Kart Antarabangsa LYL, Sungai Long, Cheras dari 19 hingga 22 November ini.
Peluang beraksi dalam Piala Dunia FIA Karting hadir selepas Medina mempamerkan prestasi memberangsangkan sepanjang musim kompetitif pertamanya yang bermula pada Januari lalu.
Bersaing dalam kategori Junior 125cc menerusi platform Rotax MAX Junior dan IAME X30 Junior, pelumba berusia 13 tahun itu semakin menunjukkan potensi menerusi beberapa keputusan positif di peringkat kebangsaan dan Asia.
Antara pencapaian membanggakan Medina ialah kejayaannya muncul pemenang Pusingan 4 Siri Karting Kebangsaan KRD di Litar Go-Kart Antarabangsa Sepang selepas meraih tempat keempat pada pusingan sebelumnya.
Beliau turut mencatat peningkatan prestasi dalam saingan Rotax MAX Asia Challenge Trophy (RMCAT) 2026. Selepas memulakan kempen dengan kedudukan keenam, Medina memperbaiki pencapaiannya kepada tempat keempat sebelum menutup saingan Pusingan 5 dengan meraih podium ketiga.
Pengalaman di luar negara turut menjadi sebahagian daripada perkembangan kariernya apabila Medina membuat penampilan sulung dalam Kejohanan Karting IAME Britain di Silverstone, United Kingdom (UK), pada September lalu.
Beraksi dalam kategori Junior X30, beliau berjaya menamatkan perlumbaan akhir pertama di kedudukan ke-14 daripada 34 peserta, sekali gus memperoleh pendedahan berharga dalam persekitaran persaingan antarabangsa.
Menariknya, penglibatan Medina dalam sukan karting bermula secara tidak dirancang ketika beliau bercuti bersama keluarga di Aylesbury, UK pada 2024.
Minatnya terhadap sukan itu mula berputik selepas mencuba aktiviti indoor fun kart di sana. Pengalaman tersebut menjadi titik permulaan kepada perjalanan yang akhirnya membawanya ke arena perlumbaan kompetitif.
Perkembangan Medina turut mendapat sokongan Premier One International Motorsport yang memainkan peranan dalam menyediakan latihan, persiapan jentera serta pembangunan bakatnya sebagai pelumba muda. Penubuhan Premier One International Motorsport UK Ltd juga membuka peluang untuk beliau mendapatkan lebih banyak pendedahan perlumbaan di UK.
Selain pencapaian di litar, kemunculan Medina turut mencerminkan perkembangan positif penyertaan golongan wanita dalam sukan permotoran. Kehadirannya sebagai pelumba remaja perempuan membuktikan bahawa usia dan gender bukan penghalang untuk mengembangkan bakat serta bersaing dalam arena karting kompetitif.
Kini, Medina bakal berdepan cabaran baharu apabila turun beraksi dalam FIA Karting Arrive and Drive World Cup 2026. Perlumbaan Piala Dunia FIA Karting menjadi peluang untuk mengukur kemampuan dirinya apabila berdepan barisan pelumba antarabangsa di pentas yang lebih besar.
Beraksi di laman sendiri pastinya memberikan suntikan semangat tambahan buat Medina. Namun, persaingan yang bakal dihadapi tetap menuntut persediaan menyeluruh, tumpuan tinggi dan kemampuan mengekalkan prestasi sepanjang kejohanan.
Bagi pelumba muda itu, penyertaan kali ini bukan sekadar mengejar keputusan membanggakan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada proses mengumpul pengalaman dan membina asas kukuh untuk masa depan dalam sukan permotoran.
Dengan perjalanan karier yang masih panjang, Medina kini mempunyai peluang untuk terus mengasah kemampuan dan membuktikan bahawa bakat muda Malaysia mampu bersaing di pentas sukan pemotoran antarabangsa.