Wing Hin Motorsports Raih Dua Kemenangan di Thailand, Kuasai Kelas GT4 dan Super Touring

BURIRAM, THAILAND – Pasukan Malaysia, Wing Hin Motorsports mencatat keputusan membanggakan apabila meraih dua kemenangan perlumbaan menerusi kelas GT4 dan Super Touring pada pusingan 4 TSS The Super Series dan pusingan 3 Thailand Super Series yang berlangsung di Chang International Circuit, Thailand, hujung minggu lalu.

Dalam kelas GT4 bagi TSS The Super Series, gandingan Mitchell Cheah dan pelumba Hong Kong, Ryan Wong memulakan kempen dengan cemerlang apabila membawa jentera #39 Toyota GR Supra GT4 EVO2 meraih kemenangan pada perlumbaan pertama, Sabtu (31 Oktober).

Bermula dari petak kelima, mereka mempamerkan aksi kompetitif dalam perlumbaan selama satu jam sebelum menamatkan saingan dengan kelebihan hanya 0.331 saat ke atas gandingan Thailand, Ananthorn T. dan Supakit J. daripada PETROLIFE Racing Team.

Toyota GR Supra GT4 EVO2 turut mendominasi kedudukan tiga teratas apabila sebuah lagi jentera kendalian pasukan Inging x Autowerks Racing, dipandu Prakhun P. dan Todd K., menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Bagaimanapun, hasrat Cheah dan Wong untuk meraih kemenangan berturut-turut pada perlumbaan kedua, Ahad (1 November), tidak kesampaian selepas terlibat dalam insiden ketika sedang memburu kedudukan pendahulu.

Ketika berada di tempat ketiga dengan baki tujuh pusingan, jentera mereka mengalami kerosakan selepas dilanggar di selekoh, sekali gus memaksa pasangan itu menamatkan perlumbaan lebih awal.

Menurut Cheah, insiden berlaku selepas Wong memintas sebuah kereta lebih perlahan, sebelum pemandu sama melakukan percubaan memotong secara agresif di selekoh berikutnya sehingga menyebabkan kerosakan pada jentera.

Sementara itu, Wing Hin Motorsports turut mencatat keputusan bercampur dalam kelas Super Touring bagi Thailand Super Series menerusi penyertaan empat buah jentera.

Pada perlumbaan pertama, Sabtu, gandingan Nabil Azlan dan Amer Harris yang mengendalikan Toyota Vios #36 berada di landasan tepat untuk memburu kemenangan selepas mendahului perlumbaan pada separuh jarak.

Bagaimanapun, masalah teknikal selepas hentian pit wajib menyebabkan jentera kehilangan kelajuan. Amer yang mengambil alih pemanduan daripada Nabil berjaya mengatasi masalah tersebut dan meneruskan perlumbaan, namun terpaksa berpuas hati di tempat ke-10.

Toyota Yaris #38 kendalian Jwan Hii dan Dannies Ng pula menamatkan perlumbaan di tempat keempat, hanya satu saat di luar kelompok tiga teratas.

Nasib lebih malang menimpa Toyota Yaris #39 yang dipandu Varunchit Wattanathanakun dan Mekkaradkeeta Kalantananda apabila terlibat dalam kemalangan berkelajuan tinggi sehingga menyebabkan jentera terbalik. Insiden itu turut memaksa perlumbaan ditamatkan di belakang kereta keselamatan.

Sementara itu, Toyota Vios #9 kendalian Nick Teo dan Ian Wong terpaksa bersara selepas melengkapkan 16 pusingan.

Namun, Nabil dan Amer bangkit dengan penuh bergaya pada perlumbaan kedua, Ahad, apabila mendominasi saingan untuk meraih kemenangan dengan kelebihan besar 17 saat berbanding pencabar terdekat, Vongsapat Ketsiri daripada Idemitsu Racing Team Thailand yang menggunakan Honda CRZ.

Tempat ketiga menjadi milik gandingan Peempol T. dan Kajonsak N., juga menerusi jentera Honda CRZ.

Menurut Amer, kemenangan itu hadir hasil usaha seluruh pasukan dalam menyediakan jentera yang kompetitif, selain strategi mengawal rentak perlumbaan selepas berjaya membina jurang besar sejak awal saingan.

Dalam perlumbaan sama, Toyota Yaris #38 kendalian Hii dan Ng menamatkan saingan di tempat kelima, manakala Toyota Vios #9 milik Teo dan Wong berada di kedudukan ke-12.

Bagaimanapun, jentera Toyota Yaris #39 tidak dapat menyertai perlumbaan kedua berikutan kerosakan serius akibat kemalangan pada hari sebelumnya.

Kedua-dua kejohanan, TSS The Super Series dan Thailand Super Series, dijadualkan kembali ke Chang International Circuit bagi pusingan penutup musim pada 11 hingga 13 Disember 2026.

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Search

Archives