
Esteban Ocon sememangnya mengetahui bahawa tempohnya bersama pasukan Haas dalam Formula 1 bakal berakhir tidak lama lagi. Namun, tidak ramai yang menjangkakan beliau akan disingkirkan daripada jentera perlumbaan seawal ini.
Pada pagi Sabtu, Haas mengumumkan bahawa Ocon, 30, akan digantikan oleh pemandu simpanan pasukan Ryō Hirakawa bagi baki hujung minggu perlumbaan Grand Prix Mexico City. Ocon sebelum ini memandu jentera Haas pada sesi latihan bebas kedua (FP2) petang Jumaat.
Bagaimanapun, pasukan itu tidak memberikan sebarang alasan berhubung keputusan berkenaan selain mengesahkan bahawa ketiadaan Ocon bukan disebabkan faktor kesihatan. Haas turut menyatakan bahawa tiada sebarang komen lanjut akan diberikan mengenai perkara tersebut.
Keputusan mengejut itu memberi gambaran bahawa hubungan antara Ocon dan Haas mungkin mengalami keretakan serius, terutama selepas ketegangan antara kedua-dua pihak semakin meningkat sepanjang musim ini. Kini, hubungan tersebut berkemungkinan sudah berada di tahap yang sukar untuk dipulihkan sekali gus meletakkan masa depan Ocon dalam F1 dalam keadaan tidak menentu.
Pada penghujung September lalu, Ocon dan Haas telah mengumumkan bahawa kerjasama mereka akan berakhir pada penghujung musim 2026 selepas dua tahun bersama. Haas memilih pendahulu kejuaraan Formula 2 (F2) Rafael Câmara, sebagai pengganti pemandu dari Perancis itu.
Walaupun bakal meninggalkan pasukan pada penghujung musim, Ocon masih mempunyai baki satu perlumbaan untuk diselesaikan bersama Haas. Persiapannya menghadapi GP Mexico City juga pada awalnya berjalan seperti biasa.
Beliau menghadiri sesi bersama media pada Khamis sebelum dijadualkan kembali ke kokpit bermula FP2 pada Jumaat. Sesi latihan bebas pertama (FP1) pula diberikan kepada Hirakawa sebagai sebahagian daripada program wajib pasukan untuk memberi peluang kepada pemandu rookie.
Namun, ketika kembali memandu pada FP2, satu perbualan menerusi radio antara Ocon dan jurutera perlumbaannya Laura Müller, mencuri perhatian apabila kedua-duanya dilihat mempunyai perbezaan pendapat mengenai pemilihan tayar untuk simulasi perlumbaan.
Ketika Müller memaklumkan bahawa pasukan mahu menukar tayar daripada jenis lembut (soft) kepada sederhana (medium) bagi simulasi dengan muatan bahan api tinggi, Ocon membantah keputusan tersebut. Keputusan itu dibuat selepas rakan sepasukannya, Ollie Bearman, mengalami kesukaran menggunakan tayar jenis soft.
Ocon kemudian membalas menerusi radio:
“Tidak, tidak, saya mahu menggunakan tayar soft. Jangan buat begitu kepada saya, ok.”
Beberapa ketika kemudian, ketika jenteranya dibawa masuk semula ke garaj, Ocon sekali lagi kedengaran berkata menerusi radio:
“Ini giliran saya hujung minggu ini, jom.”
Kenyataan mengenai giliran tersebut dipercayai merujuk kepada sistem penggiliran keutamaan pemilihan tayar antara dirinya dan Bearman.
Ocon menamatkan sesi FP2 di kedudukan ke-13, satu anak tangga di hadapan rakan sepasukannya.
Ketua pasukan Haas, Ayao Komatsu memberikan komen awam pertamanya kepada Sky Sports ketika sesi latihan bebas terakhir di Mexico pada pagi Sabtu.
Bagaimanapun, beliau hanya menyatakan bahawa dirinya “tidak dapat memberitahu banyak perkara” dan berulang kali mengelak daripada menjelaskan secara terperinci punca pasukan mengambil keputusan drastik tersebut.
Situasi itu menimbulkan persoalan bahawa terdapat perkara lebih besar yang berlaku di sebalik keputusan berkenaan apatah lagi Haas enggan memberikan sebarang penjelasan tambahan.
Apa sahaja yang berlaku selepas tamat sesi latihan pada malam Jumaat dipercayai menjadi pencetus kepada keputusan Haas untuk mengeluarkan Ocon daripada jentera serta-merta.
Dalam kenyataan awam pertamanya selepas pengumuman Haas, Ocon tampil menafikan dakwaan bahawa berlaku sebarang insiden fizikal antara dirinya dengan pihak pasukan pada malam Jumaat.
Akhbar Perancis, L’Equipe, sebelum ini melaporkan pada petang Sabtu tanpa mendedahkan sumber bahawa satu pertelingkahan antara Ocon dan Komatsu pada malam Jumaat telah ‘berakhir secara mengejut dan mungkin melibatkan unsur fizikal’.
Ocon menerusi media sosial menulis:
“Malam tadi, perbezaan pandangan telah membawa kepada satu perbincangan bersama pihak yang terlibat. Walaupun saya mengakui perkara tersebut berlaku, saya dengan tegas menolak sebarang laporan atau dakwaan yang mengatakan bahawa sebarang bentuk keganasan fizikal digunakan untuk menyelesaikan perbezaan pendapat.”
Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi sementara perkara tersebut sedang ditangani.
“Saya memohon agar sebarang spekulasi dielakkan sementara perkara ini sedang ditangani. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan pada waktunya,” tambah Ocon.
Haas bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen tambahan apabila diminta mengulas laporan berkenaan oleh The Athletic.
Kenyataan Ocon bahawa perbezaan pandangan telah mencetuskan satu perbincangan memberi gambaran bahawa insiden pada Jumaat mungkin menjadi faktor utama Haas mengambil keputusan untuk menggugurkannya di pertengahan hujung minggu perlumbaan.
Hubungan antara Ocon dan Haas sememangnya dilihat semakin tegang sejak beberapa bulan lalu.
Situasi tersebut berterusan pada awal musim ini. Haas memulakan kempen dengan prestasi memberangsangkan dan mampu bersaing di kelompok hadapan pasukan pertengahan, namun Bearman lebih banyak menghasilkan keputusan positif berbanding Ocon.
Keadaan itu mula menimbulkan persoalan mengenai kedudukan Ocon, terutama sekiranya beliau gagal meningkatkan prestasi secara ketara.
Haas secara terbuka menilai empat calon pemandu, termasuk Hirakawa, menerusi beberapa sesi ujian persendirian sebelum akhirnya memilih Câmara sebagai pengganti Ocon untuk musim 2027.
Selepas pengumuman perpisahan tersebut dibuat, Ocon tampil dengan keyakinan bahawa keputusannya tidak digantikan atas faktor prestasi.
Beliau turut menegaskan bahawa perkara itu bukan bermakna kariernya dalam F1 sudah berakhir, walaupun pasaran pemandu bagi musim 2027 dilihat semakin terhad.
“Banyak faktor menyebabkan saya tidak berada di sini pada tahun hadapan, tetapi ia bukan disebabkan faktor prestasi,” kata Ocon kepada media di Austin.
“Saya telah memenangi segala-galanya dalam setiap kategori yang pernah saya sertai, termasuk go-kart, Formula Renault, Formula 3, GP3 dan F1. Dalam semua kategori tersebut, saya pernah memenangi perlumbaan.
“Jadi, jika dinilai dari sudut sukan, saya layak berada dalam F1. Saya percaya tahun ini bukanlah tahun terakhir saya.”
Ocon turut mendedahkan bahawa beliau sedang berusaha mencari penyelesaian bagi musim 2027, yang berkemungkinan melibatkan peranan sebagai pemandu simpanan bersama mana-mana pasukan F1.
Namun, sekiranya insiden antara Jumaat dan Sabtu menyebabkan hubungan Ocon dengan Haas tidak lagi dapat dipulihkan, serta penggugurannya di GP Mexico menjadi keputusan kekal sehingga penghujung musim, peluang untuk membuktikan kemampuannya mungkin sudah tertutup.
Situasi ini juga bakal menjadi kali kedua dalam tempoh tiga tahun Ocon gagal menamatkan musim bersama pasukannya.
Pada 2024, Alpine melepaskan Ocon dengan berbaki satu perlumbaan sebelum tamat musim bagi membolehkannya menyertai Haas untuk sesi ujian selepas musim berakhir.
Dalam dunia F1 yang bergerak pantas, perubahan boleh berlaku dalam sekelip mata.
Hirakawa kemudian mencatatkan kedudukan ke-19 dalam sesi kelayakan pada Sabtu. Komatsu turut memuji prestasinya menerusi radio pasukan, sambil menjelaskan bahawa kesesakan trafik di hadapan telah menjejaskan pusingan terakhirnya dalam sesi Q1.
Haas masih belum membuat keputusan mengenai siapa yang akan mengisi tempat Ocon bagi baki musim ini sekiranya pemandu Perancis itu tidak kembali ke kokpit.
Selain Hirakawa, pasukan tersebut turut mempunyai bekas pemandu Alpine F1, Jack Doohan, dalam senarai pemandu simpanan mereka.
Câmara, yang bakal menyertai Haas pada 2027, juga boleh menjadi pilihan yang munasabah. Namun, perkara itu memerlukan kelulusan daripada pasukan induknya, Ferrari. Selain itu, Câmara masih perlu menyelesaikan baki kempen F2 di Qatar dan Abu Dhabi.
Teruskan Bersama Four Wheels..!