
Marco Bezzecchi menjelaskan masalah kehilangan cengkaman tayar hadapan yang sangat teruk menjadi punca utama kemerosotan prestasinya pada perlumbaan utama MalaysianGP di Litar Antarabangsa Sepang semalam.
Pelumba Aprilia itu mendedahkan suhu tayar hadapan dan kadar kehausannya meningkat jauh lebih tinggi daripada jangkaan. Keadaan cuaca yang sangat panas dengan suhu permukaan litar mencecah 57 darjah Celsius, ditambah pula keadaan permukaan asfalt yang semakin kasar, memberikan tekanan besar terhadap ketahanan tayar sepanjang perlumbaan.
Situasi tersebut menjadi semakin sukar apabila Bezzecchi terpaksa bekerja keras dalam kelompok hadapan, termasuk pertarungan sengit dengan Ai Ogura yang turut menggunakan jentera Aprilia. Pertarungan dan usaha mengekalkan kedudukan menyebabkan pengurusan tayar menjadi semakin mencabar.
Bezzecchi menjelaskan bahawa selepas berada sekitar tiga hingga empat pusingan di belakang Alex Marquez, dia mula berasa sangat tidak selesa dengan bahagian hadapan jentera. Malah, dia beberapa kali hampir kehilangan cengkaman ketika memasuki selekoh sehingga terpaksa mengubah gaya tunggangannya menjadi lebih defensif.
Pada pusingan terakhir, keadaan tayar sudah terlalu kritikal. Bezzecchi menjelaskan bahawa dia membrek di tempat yang sama seperti pusingan sebelumnya, tetapi sentuhan brek yang sedikit pun sudah cukup untuk menyebabkan tayar hadapan kehilangan cengkaman dan motosikal melebar keluar daripada garisan selekoh.
Bezzecchi akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat keenam. Walaupun keputusan itu jauh daripada sasaran awalnya selepas berjaya menaiki podium dalam perlumbaan Sprint, pelumba Itali itu mengakui Aprilia sudah menunjukkan peningkatan besar berbanding prestasi mereka di Sepang musim lalu.