
Persaingan merebut gelaran Juara Dunia Moto2 2026 semakin mendebarkan selepas perlumbaan MalaysianGP di Litar Antarabangsa Sepang menyaksikan jurang mata antara Manuel Gonzalez dan Izan Guevara semakin mengecil kepada hanya 3.5 mata.
Gonzalez yang hadir ke Sepang sebagai pendahulu kejuaraan terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di tempat kelima. Sebaliknya, pencabar utamanya, Guevara berjaya meraih tempat keempat untuk terus memberikan tekanan dalam perebutan gelaran dunia.
Keputusan ini menyaksikan Gonzalez kini mengumpul 276.5 mata, manakala Guevara semakin menghampiri dengan 273 mata.
Lebih menarik, Guevara kini berjaya menamatkan empat perlumbaan berturut-turut di hadapan Gonzalez. Momentum ini memberikan kelebihan psikologi buat pelumba BLU CRU Pramac Yamaha Moto2 itu menjelang baki tiga perlumbaan musim ini.
Sebelum ini, Guevara berjaya mengurangkan jurang mata di GP Indonesia, Mandalika daripada 10.5 kepada 5.5 mata. Kini, selepas aksi di Malaysia, perbezaan tersebut sekali lagi berjaya dikurangkan sebanyak dua mata.
Dengan hanya 3.5 mata memisahkan kedua-dua pelumba, setiap kedudukan dan setiap mata dalam baki perlumbaan bakal menjadi penentu kepada impian mereka untuk bergelar juara dunia.
Gonzalez masih mempunyai kelebihan sebagai pendahulu kejuaraan, namun Guevara kini semakin hampir untuk merampas kedudukan tersebut. Perebutan gelaran Moto2 musim ini dijangka terus panas sehingga ke perlumbaan terakhir.