
Yamaha secara rasmi mengesahkan penarikan diri daripada perlumbaan MotoGP Qatar 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 8 November ini di Litar Antarabangsa Lusail.
Keputusan tersebut dibuat atas faktor keselamatan susulan konflik ketenteraan yang semakin meruncing di rantau Timur Tengah. Yamaha menjelaskan bahawa penilaian risiko terbaharu masih belum membolehkan syarikat itu menarik balik sekatan perjalanan yang sedang berkuat kuasa.
Penarikan diri ini melibatkan kedua-dua pasukan Yamaha dalam kelas MotoGP iaitu Monster Energy Yamaha MotoGP yang dibarisi Fabio Quartararo dan Alex Rins, serta Prima Pramac Yamaha MotoGP yang menampilkan Jack Miller dan Augusto Fernandez.
Walaupun pihak penganjur MotoGP dilaporkan telah menerima jaminan keselamatan daripada pihak berkuasa Qatar dan pengurusan litar, Yamaha tetap dengan pendirian untuk tidak menghantar pasukannya ke Qatar.
Keputusan ini turut mencetuskan persoalan mengenai implikasi kontrak dan peraturan kejuaraan, memandangkan penyertaan pasukan dalam setiap pusingan merupakan sebahagian daripada komitmen mereka terhadap MotoGP.
Buat masa ini, MotoGP masih meneruskan perancangan untuk menganjurkan Grand Prix Qatar seperti yang dijadualkan, dengan baki pasukan lain dijangka meneruskan penyertaan.