
Keputusan Yamaha untuk memboikot Grand Prix Qatar 2026 nyata mengundang kemarahan pihak penganjur MotoGP. MotoGP Group bukan sekadar kecewa, malah pendirian Yamaha itu dilihat sebagai satu tamparan terhadap kewibawaan mereka yang telah berusaha memastikan perlumbaan di Litar Antarabangsa Lusail dapat diteruskan dengan selamat.
Dalam kenyataan rasminya, MotoGP Group menegaskan bahawa pelbagai langkah keselamatan telah dilaksanakan menerusi kerjasama dengan kerajaan Qatar, pihak pengurusan litar dan penasihat keselamatan bebas. Penilaian risiko turut dilakukan secara berterusan dan pihak penganjur menegaskan bahawa tiada maklumat yang memerlukan perubahan terhadap rancangan perlumbaan.
Namun, keputusan Yamaha untuk tetap menarik diri jelas mencabar pendirian tersebut. Ketika MotoGP Group sudah memberikan jaminan bahawa perlumbaan boleh diteruskan, Yamaha mengambil keputusan berbeza dan enggan mempertaruhkan keselamatan pasukannya.
MotoGP Group turut mengingatkan bahawa tindakan Yamaha mempunyai implikasi kontrak terhadap perjanjian bersama MotoGP dan IRTA, selain kemungkinan tindakan dari sudut sukan yang akan ditentukan berdasarkan peraturan FIM.
Ketegasan kenyataan tersebut memperlihatkan bahawa MotoGP Group tidak memandang ringan tindakan Yamaha. Isu ini bukan lagi sekadar mengenai penyertaan sebuah pasukan, tetapi turut melibatkan kewibawaan penganjur dalam menguruskan kejuaraan dunia.
Keputusan Yamaha kini mencetuskan ketegangan terbuka antara pengeluar dan penganjur, menjadikan QatarGP 2026 antara episod paling kontroversi dalam kalendar MotoGP musim ini.