
Keadaan permukaan asfalt Litar Antarabangsa Sepang menjadi perhatian serius apabila ramai pelumba MotoGP meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keadaan trek yang disifatkan semakin teruk dan membahayakan keselamatan mereka.
Apa yang lebih mengecewakan, isu ini bukan perkara baharu. Penurapan semula keseluruhan litar sebenarnya sudah dirancang untuk tahun 2026, namun sehingga MalaysianGP berlangsung, kerja tersebut nampaknya tidak terlaksana. Alasan berkaitan masalah logistik menyebabkan rancangan berkenaan terpaksa ditangguhkan.
Antara pelumba yang lantang menyuarakan ketidakpuasan hati ialah Luca Marini, Fabio Di Giannantonio, Jack Miller, Pedro Acosta dan Alex Marquez. Mereka bukan sekadar mengkritik tentang permukaan yang tidak rata, malah turut membangkitkan masalah serpihan batu kecil yang terkeluar daripada asfalt dan boleh terkena tubuh pelumba ketika berada di atas jentera.
Di Giannantonio menggambarkan keadaan tersebut seperti menunggang di litar motocross yang mana terlalu banyak percikan asfalt terkena pada tubuhnya terutama ketika sesi latihan permulaan.
Sepang bukan sebuah litar kecil yang baru dibina. Ia merupakan antara litar paling penting dalam kalendar MotoGP dan turut menjadi lokasi ujian rasmi yang menghimpunkan pasukan-pasukan terbaik dunia. Keadaan asfalt yang semakin teruk ini jelas tidak sepatutnya berlaku kepada sebuah litar yang membawa status bertaraf dunia.
Sepang membawa nama Malaysia di pentas sukan permotoran dunia. Kita boleh berbangga dengan penganjuran MotoGP dan kemudahan yang dimiliki, tetapi status sebagai litar bertaraf dunia juga datang bersama tanggungjawab untuk memastikan setiap inci permukaan trek berada pada tahap yang cemerlang tanpa kompromi. Reputasi Sepang tidak seharusnya tercalar hanya kerana perkara asas seperti penyelenggaraan asfalt gagal diberikan perhatian sewajarnya.