
MR. FAWZI AHMAD, CHIEF EXECUTIVE OFFICER, DRB-HICOM AUTO SOLUTIONS SDN BHD
Mr. Loh Heng Choy, Managing Director, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM)
Datuk Kwek Leng San, President & CEO of Hong Leong Manufacturing Group
Mr. Shitara, Motofumi, President, CEO & Representative Director, YMC
Dato’ Prof. Dr. Jim Khor, Group Managing Director, Hong Leong Industries Bhd
Datuk Wee Hong, Chairman of Malaysia Motorcycle & Scooter Dealers Association (MMSDA)
Mr. Suzuki, Yasutaka, Senior Executive Officer, Chief General Manager, Land Mobility Business Operations, YMC
Yamaha Motor memperkenalkan YZF-R9 baharu sebagai model supersport generasi terkini yang menggabungkan prestasi enjin tiga silinder, teknologi elektronik canggih serta kejuruteraan berinspirasikan perlumbaan MotoGP.
Dijadualkan mula ditawarkan di Malaysia pada Januari 2027, Yamaha YZF-R9 hadir dengan enjin tiga silinder sebaris 890cc, DOHC, penyejukan cecair yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 87.5kW pada 10,000rpm dan tork 93.0Nm pada 7,000rpm.
Gabungan prestasi enjin dan teknologi terkini ini menjadikan YZF-R9 sebuah jentera supersport yang dibangunkan untuk menawarkan kuasa, pengendalian tepat serta keyakinan ketika menunggang di jalan raya mahupun litar perlumbaan.
Rangka Aluminium Paling Ringan dalam Keluarga Supersport Yamaha
Antara kelebihan utama YZF-R9 ialah penggunaan rangka Deltabox aluminium tuangan graviti dengan berat hanya 9.7kg. Ia merupakan rangka aluminium paling ringan pernah digunakan pada model supersport Yamaha.
Dibangunkan bagi mengimbangi tahap fleksibiliti dan ketegaran, rangka ini membantu menghasilkan pengendalian yang lebih lincah selain memberikan kestabilan ketika motosikal berada pada kelajuan tinggi.
Posisi tunggang turut dioptimumkan dengan permukaan sentuhan badan yang lebih luas bagi membolehkan penunggang bergerak dengan lebih bebas. Reka bentuk ini menawarkan keselesaan serta kawalan yang lebih baik untuk pelbagai bentuk badan dan keadaan tunggangan.
Brek Brembo Stylema dan Suspensi KYB Generasi Baharu
Bagi memastikan prestasi membrek sepadan dengan kemampuan enjinnya, YZF-R9 dilengkapi kaliper brek hadapan Brembo Stylema yang ringan dan tegar.
Sistem ini menawarkan kawalan membrek lebih tepat, kestabilan serta tindak balas konsisten terutama ketika melakukan membrek kuat atau berulang kali.
Sementara itu, sistem suspensi menggunakan komponen KYB yang ditala khusus, termasuk fork hadapan terbalik berdiameter 43mm dengan pelarasan penuh serta penyerap hentak belakang yang turut menawarkan pelarasan sepenuhnya.
Kombinasi ini membolehkan penunggang menyesuaikan tetapan suspensi mengikut keperluan, selain memberikan kawalan redaman dan kestabilan lebih baik.
Winglet Berinspirasikan Teknologi MotoGP
Menariknya, Yamaha YZF-R9 turut menerima winglet daya mendap (downforce) yang diinspirasikan daripada teknologi perlumbaan MotoGP Yamaha.
Dibangunkan menerusi analisis terowong angin, komponen aerodinamik ini membantu mengurangkan daya angkat pada bahagian hadapan motosikal, sekali gus meningkatkan cengkaman tayar hadapan dan kestabilan ketika tunggangan.
Teknologi Elektronik dengan Sistem IMU Enam Paksi
Dari aspek elektronik, YZF-R9 dilengkapi unit pengukuran inersia (IMU) enam paksi yang membolehkan pelbagai sistem bantuan penunggang beroperasi berdasarkan sudut kecondongan motosikal.
Antara fungsi yang ditawarkan termasuk Traction Control, Slide Control, Lift Control dan Brake Control.
Sistem Yamaha Ride Control pula membolehkan penunggang menyesuaikan tetapan mengikut keadaan tunggangan. Turut disediakan ialah Launch Control yang membantu menghasilkan pecutan lebih pantas dan cekap ketika memulakan gerakan dari keadaan pegun, khususnya untuk kegunaan di litar perlumbaan.
Aplikasi Y-TRAC Rev dan Meter TFT 5 Inci
Melengkapkan pakej teknologi, Yamaha YZF-R9 turut menyokong aplikasi Y-TRAC Rev apabila digunakan bersama Y-Connect yang disambungkan kepada motosikal.
Aplikasi ini menyediakan fungsi pengukuran masa pusingan, analisis data tunggangan serta papan pit maya. Penunggang boleh menyemak rekod terdahulu bagi menilai perkembangan prestasi, selain menerima arahan masa nyata daripada ahli pasukan yang dipaparkan pada meter motosikal.
Aplikasi ini menawarkan pelan percuma dengan had penyimpanan data, manakala pelan berbayar menyediakan penyimpanan data tunggangan tanpa had.
Untuk paparan maklumat, YZF-R9 menggunakan meter TFT berwarna bersaiz 5 inci dengan empat pilihan tema serta mod Track khusus yang memaparkan maklumat berkaitan tunggangan di litar termasuk pemasa pusingan.
Paparan ini turut menyediakan maklumat penting seperti paras dan penggunaan bahan api, suhu cecair penyejuk serta kedudukan gear. Penunggang juga boleh menyesuaikan paparan mengikut pilihan masing-masing.
Harga Yamaha YZF-R9 di Malaysia
Yamaha YZF-R9 baharu dijadualkan mula ditawarkan di Malaysia bermula Januari 2027 menerusi semua pengedar sah Yamaha BLU Universe.
Ditawarkan dalam satu pilihan warna iaitu Icon Blue, model supersport ini mempunyai harga runcit disyorkan RM68,000, tidak termasuk kos insurans dan pendaftaran.
Dengan gabungan enjin tiga silinder 890cc, rangka aluminium ringan, komponen premium Brembo dan KYB serta teknologi elektronik berinspirasikan perlumbaan, Yamaha YZF-R9 bakal menjadi antara model supersport yang menarik perhatian peminat motosikal berprestasi tinggi di Malaysia.





