Hong Leong Yamaha Motor perkenal rangkaian BLU, perluas penawaran Big Bike kepada lebih 20 model

Kedudukan Dari Kiri ke Kanan:
MR. FAWZI AHMAD, CHIEF EXECUTIVE OFFICER, DRB-HICOM AUTO SOLUTIONS SDN BHD
Mr. Loh Heng Choy, Managing Director, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM)
Datuk Kwek Leng San, President & CEO of Hong Leong Manufacturing Group
Mr. Shitara, Motofumi, President, CEO & Representative Director, YMC
Dato’ Prof. Dr. Jim Khor, Group Managing Director, Hong Leong Industries Bhd
Datuk Wee Hong, Chairman of Malaysia Motorcycle & Scooter Dealers Association (MMSDA)
Mr. Suzuki, Yasutaka, Senior Executive Officer, Chief General Manager, Land Mobility Business Operations, YMC

Sungai Buloh, 30 Oktober 2026 – Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mengumumkan pembaharuan strategik perniagaan Big Bike di Malaysia menerusi pengenalan rangkaian premium BLU serta model perniagaan Completely Built-Up (CBU) baharu bagi memperkukuh kedudukannya dalam segmen motosikal berkapasiti 250cc dan ke atas.

Langkah ini hadir susulan perkembangan pesat pasaran Big Bike tempatan apabila jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi segmen 250cc dan ke atas meningkat sebanyak 73 peratus antara tahun 2025 hingga 2026. Malah, unjuran jangka sederhana menunjukkan pasaran berpotensi mencapai 110,000 unit.

Menerusi strategi baharu ini, HLYM merancang memperluaskan penawaran model daripada tujuh model sedia ada kepada lebih 20 model merangkumi kategori CBU dan Completely Knocked Down (CKD) dalam beberapa tahun akan datang.

Pelaksanaan strategi ini diterajui menerusi perjanjian kerjasama tiga pihak antara HLYM, Yamaha Motor Co., Ltd. (YMC) dan DRB-HICOM Auto Solutions Sdn. Bhd. (DHAS), yang menggabungkan kepakaran dalam bidang pengilangan serantau, pengedaran serta pemasangan bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang jenama Yamaha.

Rangkaian BLU bawa ekosistem Big Bike premium Yamaha

Sebagai sebahagian daripada pembaharuan tersebut, HLYM memperkenalkan rangkaian BLU yang merangkumi tiga entiti utama iaitu BLU Nexus, BLU Universe dan BLU Point.

Ketiga-tiga entiti ini dibangunkan bagi menyediakan ekosistem menyeluruh yang merangkumi jualan, perkhidmatan selepas jualan, gaya hidup serta penglibatan komuniti penunggang Yamaha.

BLU Nexus – Pusat pameran utama Yamaha Big Bike

Terletak di Kompleks Hong Leong Yamaha, Sungai Buloh, BLU Nexus berfungsi sebagai pusat pameran utama premium HLYM yang menawarkan pengalaman lebih menyeluruh kepada pengunjung.

Menggunakan konsep diorama imersif, ruang pameran ini menampilkan enam kategori utama motosikal Yamaha iaitu SuperSport, Naked, Automatic, Touring, Sport Heritage dan Adventure.

Selain mempamerkan pelbagai model motosikal, pengunjung turut berpeluang meneliti aspek ergonomik, posisi tunggangan serta ketinggian tempat duduk setiap model menerusi unit pameran statik.

BLU Nexus turut dilengkapi koleksi pakaian dan barangan rasmi Yamaha yang dipilih khas untuk melengkapkan pengalaman gaya hidup Big Bike.

BLU Universe – 19 pengedar premium di seluruh Malaysia

BLU Universe pula merupakan rangkaian pengedar premium yang memfokuskan motosikal berkapasiti 250cc dan ke atas.

Sebanyak 19 pengedar terpilih akan diperkenalkan secara berperingkat di seluruh negara sehingga suku pertama 2028, dengan empat cawangan pertama dijadualkan mula beroperasi menjelang penghujung tahun 2026.

Bermula 1 Januari 2027, semua pengedar BLU Universe akan menjadi rangkaian jualan rasmi bagi keseluruhan model CKD dan CBU Yamaha berkapasiti 250cc dan ke atas.

Setiap pusat BLU Universe turut dilengkapi kemudahan BLU Care, iaitu pusat servis selepas jualan premium yang dikendalikan juruteknik bertauliah dan penasihat servis, selain disokong penggunaan alat ganti tulen Yamaha.

Antara kemudahan yang ditawarkan termasuk perkhidmatan pengambilan dan penghantaran motosikal dari pintu ke pintu, kemudahan mencuci serta menggilap motosikal menerusi Bike Spa dan latihan kemahiran menunggang percuma bagi setiap pembelian, tertakluk pada ketersediaan.

Bagi pengedar terpilih, pelanggan turut boleh menikmati pemasangan kelengkapan menunggang secara percuma serta perkhidmatan Bike Concierge untuk penyimpanan dan penyelenggaraan motosikal.

BLU Point – Akses lebih meluas untuk model sehingga 250cc

Melengkapi rangkaian BLU Universe, HLYM turut mengekalkan akses kepada rangkaian produk Yamaha menerusi 43 pengedar BLU Point di seluruh negara.

Rangkaian ini memberi tumpuan kepada model Yamaha sehingga 250cc, khususnya bagi pelanggan di kawasan yang belum mempunyai pengedar BLU Universe.

Gaya hidup BLU dan pengenalan Yamaha YZF-R9

Selain aspek jualan dan selepas jualan, HLYM turut memperkenalkan konsep Gaya Hidup BLU yang membawa pengalaman pemilikan Big Bike Yamaha melangkaui ruang pameran.

Inisiatif ini merangkumi koleksi eksklusif pakaian dan barangan premium Yamaha, aktiviti tunggangan anjuran pengedar serta konvoi jarak jauh secara eksklusif dalam kumpulan terpilih.

Bermula Januari 2027, pengedar BLU Universe terpilih turut akan menawarkan program tunggang uji premium yang membolehkan pelanggan merasai sendiri pengalaman menunggang model Yamaha Big Bike terpilih mengikut segmen pilihan masing-masing sebelum membuat keputusan pembelian.

Seiring pengenalan rangkaian BLU, HLYM turut memperkenalkan Yamaha YZF-R9 sebagai model baharu pertama yang dilancarkan di bawah pengalaman BLU.

Model supersport berkenaan menandakan permulaan fasa baharu perniagaan Big Bike HLYM yang diperbaharui, dengan lebih banyak model dijangka diperkenalkan dalam beberapa tahun akan datang.

Menerusi rangkaian BLU, HLYM menyasarkan pembangunan ekosistem Big Bike yang lebih bersepadu dengan menggabungkan produk, jualan, perkhidmatan selepas jualan, gaya hidup dan komuniti dalam satu pengalaman premium.

Pembaharuan ini sekali gus memperlihatkan komitmen HLYM untuk memperkukuh kehadiran Yamaha dalam segmen Big Bike tempatan, selain menawarkan pengalaman pemilikan yang lebih menyeluruh kepada pelanggan.

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Search

Archives