
Capit Racing tampil memberikan penjelasan berhubung keputusan DSQ dalam perlumbaan Malaysian Cub Prix kategori Pro-Am pada pusingan ketujuh yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang Selatan, Ahad lalu, 18 Oktober 2026.
Menurut pemilik pasukan tersebut, pemeriksaan selepas perlumbaan mendapati komponen dalaman enjin seperti crankshaft, gearbox, valve spring, valve dan cam masih berada dalam spesifikasi standard.
Bagaimanapun, jentera berkenaan dikenakan DSQ berikutan pengubahsuaian pada bahagian clutch housing yang ditebuk bagi membantu mengurangkan risiko clutch plate dan friction plate terbakar.
Capit Racing menjelaskan bahawa pengubahsuaian tersebut dilakukan atas faktor ketahanan komponen, bukannya untuk meningkatkan prestasi atau kelajuan jentera. Malah, clutch housing yang sama dikatakan telah digunakan selama tiga tahun dalam kategori Pro-Am dan beberapa kali melalui pemeriksaan teknikal sebelum ini tanpa sebarang tindakan DSQ.
Pemilik pasukan itu turut menegaskan bahawa prestasi jentera bukan semata-mata bergantung kepada enjin, sebaliknya turut dipengaruhi oleh aspek suspensi yang dibekalkan CR Suspension serta kemampuan pelumba, Abdul Muhaimin Roslan. Enjin berkenaan juga merupakan unit yang sebelum ini digunakan oleh Sani Irfan.
Selain mempertikaikan keputusan DSQ, Capik Racing membangkitkan persoalan mengenai prosedur pemeriksaan teknikal, khususnya apabila komponen clutch housing milik pasukan didakwa diambil tanpa mendapatkan tandatangan pengesahan daripada pengurus atau kru pasukan. Komponen tersebut juga dikatakan masih belum dikembalikan.