
Pasukan MBI Selangor Motoroy Xla yang sebelum ini bersaing dalam Kejuaraan Malaysian Cub Prix kini tidak lagi kelihatan di grid perlumbaan. Kehilangan mereka secara tiba-tiba sejak pusingan di Litar Go Kart LYL menimbulkan tanda tanya, apatah lagi apabila situasi yang berlaku di sebalik tabir pasukan itu masih diselubungi sedikit misteri.
Berdasarkan maklumat yang diketahui, kemelut tersebut dipercayai berpunca daripada kegagalan memenuhi komitmen pembayaran seperti yang dijanjikan, melibatkan sewaan jentera, pihak teknikal pasukan serta beberapa pelumba.
Ketika perlumbaan berlangsung di Litar Go Kart LYL, tiga jentera yang digunakan dalam Kategori Wira dilaporkan telah disita oleh pemiliknya. Kejadian itu menyebabkan para pelumba kehilangan peluang untuk beraksi, sedangkan mereka hanya mengetahui situasi berkenaan sehari sebelum minggu perlumbaan bermula. Tempoh yang terlalu singkat menyukarkan mereka mendapatkan jentera ganti untuk meneruskan saingan.
Kategori Wira merupakan antara platform penting buat pelumba muda membina asas kerjaya dalam arena perlumbaan motosikal tempatan. Namun, bakat dan potensi sahaja tidak mencukupi untuk menjamin masa depan mereka.
Kelangsungan karier seseorang pelumba turut bergantung pada kestabilan pengurusan pasukan, komitmen kewangan serta keupayaan menyediakan pakej perlumbaan yang dijanjikan. Apabila masalah pengurusan mula menjejaskan persiapan dan penyertaan, pelumba menjadi pihak yang paling terkesan, meskipun mereka tidak semestinya mempunyai kaitan dengan kemelut tersebut.
Akhirnya, bakat muda yang sepatutnya diberi ruang untuk berkembang terpaksa berdepan halangan di luar kawalan mereka. Dalam sukan permotoran, membina pelumba bukan sekadar menyediakan jentera dan menghantar mereka ke litar. Ia turut menuntut pengurusan yang bertanggungjawab, komitmen yang konsisten serta profesionalisme dalam menunaikan setiap janji.