RCB Kembali ke EICMA 2026 Buat Tahun Keempat, Bakal Perkenal Produk Prestasi Baharu

KUALA LUMPUR, 15 Oktober 2026 – RCB, jenama komponen dan aksesori motosikal berprestasi tinggi dari Malaysia, bakal kembali menyertai EICMA 2026 buat tahun keempat berturut-turut dalam usaha memperkukuh kehadirannya di pasaran antarabangsa.

Pameran Motosikal Antarabangsa EICMA edisi ke-83 itu akan berlangsung di Fiera Milano Rho, Milan, Itali, dari 3 hingga 8 November 2026. Acara pada 3 dan 4 November dikhususkan kepada pihak media serta profesional industri sebelum dibuka kepada orang ramai dari 5 hingga 8 November.

Penyertaan berterusan RCB dalam antara pameran motosikal paling berpengaruh di dunia itu mencerminkan komitmen jenama berkenaan untuk mengembangkan rangkaian global, selain memperkenalkan penyelesaian prestasi kepada pasukan perlumbaan profesional, rakan industri dan penunggang motosikal.

Ketika ini, RCB mempunyai kehadiran di lebih 25 negara dengan operasi merangkumi Asia dan Eropah. Pengalaman lebih tiga dekad dalam industri turut menjadi asas kepada pembangunan produk yang menggabungkan kepakaran kejuruteraan, pengalaman sukan permotoran dan reka bentuk moden.

RCB Bawa Produk Prestasi Terbaharu ke Milan

Pada EICMA 2026, RCB bakal mempamerkan rangkaian produk terkini merangkumi roda, sistem suspensi, komponen brek, penyelesaian casis serta aksesori motosikal.

Antara produk yang akan menjadi tumpuan ialah FD Series Front Fork untuk Yamaha XMAX dan NVX, S2+ ICE Alloy Floating Disc, pam brek utama baharu berasaskan karbon serta koleksi barangan rasmi RCB.

Pengunjung turut berpeluang melihat pratonton eksklusif beberapa produk baharu yang masih belum dilancarkan secara rasmi. Pendedahan awal itu memberikan gambaran mengenai hala tuju pembangunan teknologi dan reka bentuk RCB pada masa hadapan.

Menurut Pengurus Besar Jenama RCB, Marcus Leong, penyertaan buat tahun keempat berturut-turut itu menjadi pencapaian penting dalam perkembangan antarabangsa jenama berkenaan.

Beliau berkata, EICMA menyediakan platform penting untuk RCB memperkenalkan pembangunan terbaharu, mengukuhkan hubungan dengan rakan niaga global dan berinteraksi secara langsung dengan pemain industri.

Pengalaman yang diperoleh melalui sukan permotoran juga terus mempengaruhi pembangunan produk RCB untuk kegunaan lebih meluas, termasuk di litar perlumbaan dan jalan raya.

UMA Racing Turut Warnai Pameran RCB

Selain produk RCB, beberapa komponen prestasi terpilih daripada UMA Racing turut dipamerkan di reruai yang sama.

Kehadiran UMA Racing melengkapi kepakaran RCB dalam sistem casis, suspensi dan brek menerusi rangkaian komponen enjin serta peningkatan prestasi kuasa.

Gabungan kedua-dua jenama itu turut memperlihatkan keupayaan industri prestasi motosikal Malaysia dalam membangunkan produk untuk pasaran antarabangsa.

Sepanjang pameran, pengunjung berpeluang melihat produk dengan lebih dekat, bertemu wakil RCB dan menyertai pelbagai aktiviti khas yang dianjurkan di reruai berkenaan.

Rok Bagoroš Bakal Buat Kemunculan Khas

Menambah tarikan kepada pengunjung, RCB turut merancang kemunculan khas pelumba aksi antarabangsa, Rok Bagoroš, termasuk sesi bertemu peminat sepanjang acara berlangsung.

Sesi pertemuan bersama penunggang aksi terkenal itu dijadualkan pada 5 November 2026, manakala jadual penuh kemunculan dan aktiviti lain akan diumumkan menerusi saluran komunikasi rasmi RCB.

Pada masa sama, penyertaan di EICMA turut menyokong strategi pengembangan antarabangsa syarikat, khususnya melalui pengukuhan hubungan dengan pengedar Eropah, rakan teknikal dan pasukan perlumbaan.

Kehadiran komersial serta penyelidikan dan pembangunan RCB di Eropah juga membolehkan syarikat memahami keperluan pasaran dengan lebih dekat dan mempercepat pembangunan produk generasi seterusnya.

Marcus berkata, fokus RCB adalah untuk terus meningkatkan keupayaan, memperkenalkan inovasi yang relevan serta menyediakan produk prestasi yang boleh dipercayai oleh penunggang.

Pengunjung boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk dan aktiviti RCB di Dewan 7, Reruai C05, Fiera Milano Rho, Milan, Itali, sepanjang EICMA 2026.

Maklumat Acara

  • Acara: EICMA 2026 – Pameran Antarabangsa Motosikal
  • Tarikh: 3 hingga 8 November 2026
  • Lokasi: Dewan 7, Reruai C05, Fiera Milano Rho, Milan, Itali
  • Sesi khas: Bertemu Rok Bagoroš pada 5 November 2026
  • Laman web: www.rcb.com

Teruskan Bersama Two Wheels..!

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Search

Archives