
Maverick Vinales kini mempertimbangkan kemungkinan untuk menamatkan kempen MotoGP 2026 lebih awal susulan masalah fizikal yang semakin memburuk. Pelumba Red Bull KTM Tech3 itu mengakui kesakitan yang dialaminya masih belum menunjukkan sebarang perkembangan positif, malah semakin teruk selepas perlumbaan QatarGP.
Vinales dijadualkan menjalani pemeriksaan perubatan lanjut termasuk imbasan MRI minggu depan bagi mengenal pasti punca sebenar masalah tersebut. Sekiranya pemeriksaan mengesahkan kecederaan serius, dia tidak menolak kemungkinan untuk menghentikan perlumbaan dan menjalani pembedahan bagi memulihkan keadaannya.
Vinales turut mengakui sudah kehilangan motivasi untuk meneruskan perlumbaan dalam keadaan fizikal yang tidak mengizinkannya memberikan prestasi terbaik.
“Buat masa ini, saya tiada motivasi untuk meneruskan perlumbaan. Tiada gunanya menunggang motosikal pada tahap 50 peratus. Sekiranya proses pemulihan tidak memungkinkan saya kembali cergas, saya akan berhenti,” katanya.
Keputusan pemeriksaan MRI minggu depan bakal menjadi penentu kepada langkah seterusnya buat Vinales, sama ada meneruskan baki saingan musim ini atau memberi tumpuan sepenuhnya kepada proses pemulihan.