
Pasukan LN4 Fusion bakal membuat penampilan sulung dalam dua pusingan terakhir Formula Trophy Malaysia. Penampilan tersebut menandakan permulaan perjalanan pasukan itu dalam arena perlumbaan kompetitif di kategori junior formula seperti Formula 4, Formula Regional, Formula 3 dan Formula 2.
Diasaskan oleh juara dunia Formula 1 2025, Lando Norris, LN4 Fusion yang baru diperkenalkan secara rasmi dua bulan lalu bakal menjadikan Litar Antarabangsa Sepang sebagai medan penampilan sulung mereka. Penyertaan ini memberi peluang kepada pasukan untuk menguji kemampuan jentera, memperkukuh kerjasama antara anggota pasukan serta mengumpul pengalaman berharga sebelum menghadapi kempen penuh pada musim 2027.
LN4 Fusion bakal mempertaruhkan khidmat tiga pelumba, diketuai oleh bakat dari Ukraine, Oleksandr Bondarev. Pelumba di bawah naungan Williams F1 Driver Academy itu hadir dengan rekod pencapaian membanggakan selepas muncul juara Formula 4 Middle East 2026, selain meraih kemenangan dalam saingan Formula 4 dan Formula Regional musim ini.

📸 Prema Team
Turut memperkuatkan barisan pasukan ialah pelumba Kanada, Lucas Nanji, yang sedang meneruskan perkembangan kariernya selepas mengharungi musim pertama dalam kejuaraan USF2000. Penampilan di Sepang pada hujung minggu ini bakal membuka ruang buatnya menimba lebih banyak pengalaman di litar bertaraf antarabangsa.
Seorang lagi pelumba yang bakal mewakili LN4 Fusion ialah bakat muda Britain, Jesse Phillips. Bekas juara karting itu turut memiliki rekod cemerlang selepas menjuarai Ginetta Junior Winter Series 2025 sebelum menambah satu lagi kejayaan menerusi gelaran GB4 Winter Series.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LN4 Fusion, Dan Richards, menyifatkan penyertaan dalam Formula Trophy Malaysia sebagai satu perkembangan penting buat pasukan selepas melalui tempoh persiapan sejak penubuhannya.
Beliau turut melihat peluang beraksi dalam suasana perlumbaan kompetitif pada peringkat awal ini sebagai platform terbaik untuk membina keserasian, memperkukuh kerjasama pasukan serta menilai tahap persiapan menjelang musim penuh 2027.
Justeru, penampilan sulung di Formula Trophy Malaysia pada hujung minggu ini bukan sekadar menjadi langkah pertama LN4 Fusion dalam arena perlumbaan, malah medan penting untuk menguji potensi dan kemampuan pasukan sebelum berdepan cabaran lebih besar pada musim hadapan.
Bagi peminat sukan permotoran yang berkelapangan, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan aksi Formula Trophy Malaysia yang berlangsung bersempena dengan perlumbaan penutup tirai Kejohanan China GT musim ini di Litar Antarabangsa Sepang.
Dapatkan tiket anda sekarang dan saksikan sendiri kehangatan perlumbaan di litar! Klik di sini untuk pembelian tiket.