Tawaran hujung tahun, hadiah wang tunai sehingga RM20,000 dan pengalaman pemanduan di Litar Sepang antara tarikan utama acara di Glenmarie pada 14 dan 15 November ini.

SHAH ALAM, 12 November 2026 – Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON), anak syarikat DRB-HICOM Berhad, bakal menghimpunkan sembilan jenama automotif menerusi penganjuran EON Auto Finale 2026 yang menawarkan pelbagai promosi hujung tahun, termasuk rebat sehingga RM100,000.
Berlangsung pada 14 dan 15 November 2026 di Ibu Pejabat EON, Glenmarie, Shah Alam, acara ini menampilkan Proton, Proton e.MAS, smart, Mitsubishi, Isuzu, Audi, Volkswagen, Hyundai dan Zeekr.
Menerusi penganjuran ini, pengunjung berpeluang melihat pelbagai model terpilih, membandingkan tawaran serta menjalani pandu uji di satu lokasi. Selain kenderaan baharu, EON turut menyediakan pilihan kereta terpakai daripada Avis dan armada milik syarikat itu sendiri yang diselenggara secara berkala.
Tidak terhad kepada penjualan kenderaan, pengunjung juga boleh mendapatkan maklumat mengenai pelbagai perkhidmatan sokongan pemilikan. Antaranya pembiayaan pembelian kenderaan dan penyelesaian waranti lanjutan daripada Tras, perkhidmatan sewaan kenderaan menerusi Avis dan Budget Malaysia, perlindungan insurans daripada EON Insurance serta penjagaan kenderaan melalui EON AutoSpa.
Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial, berkata penganjuran EON Auto Finale 2026 bukan sekadar menawarkan promosi menarik, malah memberikan lebih banyak pilihan, kemudahan dan keyakinan kepada pelanggan dalam membuat keputusan pembelian.
Menurutnya, ekosistem perkhidmatan menyeluruh EON membolehkan pelanggan menikmati pelbagai penyelesaian berkaitan pemilikan kenderaan, sekali gus memberikan nilai dan fleksibiliti lebih baik sepanjang tempoh penggunaan.
Berteraskan slogan Make Your Move, EON Auto Finale 2026 turut menawarkan pelbagai promosi terhad daripada jenama dan penyedia perkhidmatan yang mengambil bahagian, dengan rebat sehingga RM100,000.
Bagi memeriahkan acara, 300 pelanggan terawal yang mendaftar berpeluang menerima ganjaran Early Bird Rewards. Antara hadiah yang ditawarkan ialah 10 unit kamera papan pemuka (dashcam) bernilai RM300 setiap satu.
Pengunjung yang layak dan membuat pendaftaran masuk di lokasi acara juga berpeluang memenangi ganjaran segera. Sementara itu, pelanggan yang membuat tempahan kenderaan di cawangan EON terpilih di seluruh negara sepanjang tempoh kempen berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai sehingga RM20,000.
Lebih menarik, tiga pemenang bertuah akan menerima pengalaman pemanduan eksklusif di Litar Antarabangsa Sepang, termasuk sesi pemanduan di litar bersama pemandu profesional.
EON Auto Finale 2026 turut disertai beberapa rakan kerjasama strategik. PUSPAKOM akan berkongsi maklumat mengenai perkhidmatan pemeriksaan kenderaan, manakala Bank Muamalat memperkenalkan Muamalat EON Credit Cards.
MODENAS pula akan mempamerkan barisan motosikal Kawasaki dan MODENAS, selain menawarkan peluang kepada pengunjung untuk menjalani tunggang uji.
Selepas acara di Glenmarie, kempen EON Auto Finale 2026 akan diteruskan menerusi EON Auto Finale 2026 Penang Edition pada 21 dan 22 November ini di bilik pameran EON Auto Mart Bayan Lepas.
Edisi Pulau Pinang itu akan menampilkan model terpilih serta promosi daripada Proton, Mitsubishi, Hyundai, Audi dan Isuzu. Avis Budget Malaysia turut mengambil bahagian dengan memperkenalkan perkhidmatan sewaan kenderaan bagi memenuhi pelbagai keperluan mobiliti pelanggan.
Pelanggan yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut serta membuat pendaftaran bagi ganjaran Early Bird Rewards boleh melayari laman sesawang rasmi EON di www.eon.com.my.