
Bahang MalaysianGP hujung minggu ini semakin terasa apabila lebih 600 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditugaskan bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan sepanjang acara berlangsung di PETRONAS Sepang International Circuit (PSIC).
Tiada lencongan trafik akan dilaksanakan, namun laluan kontra disediakan khusus untuk kenderaan VIP dan kecemasan. Pengguna jalan raya yang mempunyai urusan ke KLIA dan KLIA2 dinasihatkan keluar lebih awal bagi mengelakkan kemungkinan kelewatan.
Berbeza dengan GP Bahrain tempoh hari, tiada sekatan kenderaan seperti itu akan dilaksanakan. Pengunjung juga digalakkan menggunakan pengangkutan awam untuk ke litar.
Parkir adalah berdasarkan konsep siapa cepat, dia dapat. Jika kawasan parkir utama penuh, kenderaan akan ditempatkan di kawasan berdekatan. Pengunjung dibasihatkan agar tidak sesekali meletakkan kenderaan di bahu jalan kerana tindakan tunda dan denda RM250 boleh dikenakan.
Selain aksi perlumbaan, pelbagai aktiviti menarik menanti di Mall Area, termasuk persembahan pelajar sekolah dan universiti.
Sementara itu, khabar angin untuk pusingan GP Qatar dilaksanakan di Sepang masih sukar direalisasikan berikutan jadual PSIC yang padat serta faktor kos.
Jumpa anda di Sepang! Kasi Gegar!


