
GUANGZHOU, CHINA – Seramai 25 wakil media terpilih berpeluang menyertai sesi Media Visit ke Haojin Motor di Guangzhou, China, yang dianjurkan oleh Mforce, selaku pihak yang bakal membawa masuk jenama Letbe ke pasaran Malaysia.
Lawatan selama tiga hari itu memberi peluang kepada barisan media tempatan untuk melihat sendiri operasi dan keupayaan Haojin Motor, termasuk fasiliti pengeluaran, ibu pejabat, makmal ujian, bahagian logistik serta litar ujian mereka.
Haojin Motor yang ditubuhkan pada 2001 kini mempunyai sekitar 1,300 tenaga kerja dan mengeksport produknya ke lebih 80 negara. Syarikat berkenaan juga mempunyai kapasiti pengeluaran sehingga 1.5 juta unit motosikal setahun.





Sepanjang lawatan, media turut dibawa melihat proses penghasilan enjin secara lebih dekat, bermula daripada komponen asas sehingga siap dipasang serta menjalani pemeriksaan kawalan kualiti.
Selain proses pengeluaran, media turut diberi pendedahan mengenai sistem pengurusan kilang yang digunakan Haojin bagi memantau perkembangan pengeluaran, data operasi serta kehadiran tenaga kerja secara berpusat.
Sesi lawatan turut merangkumi kunjungan ke bahagian testing laboratory, di mana media dapat melihat pelbagai ujian yang dijalankan bagi memastikan tahap ketahanan dan kebolehpercayaan komponen serta motosikal sebelum dipasarkan.
Lebih menarik, media turut berpeluang melihat dengan lebih dekat barisan produk Letbe, termasuk beberapa model yang disediakan untuk sesi pandu uji pada hari berikutnya.



Dalam lawatan tersebut, mereka juga diberikan peluang melihat prototype motosikal moped 150cc dengan sistem auto-clutch yang sedang dibangunkan oleh Mforce. Pendedahan awal terhadap projek tersebut memberikan gambaran mengenai hala tuju dan usaha pembangunan produk baharu yang bakal diperkenalkan kepada pasaran.
Lawatan ke Haojin Motor ini bukan sekadar memberi peluang kepada media mencuba produk baharu, malah memberikan perspektif lebih luas mengenai teknologi, proses pembangunan serta kapasiti pengeluaran di sebalik sesebuah jenama motosikal.
Bagi media automotif, pengalaman seperti ini turut membuka ruang untuk mendapatkan pemahaman yang lebih menyeluruh sebelum membuat liputan mengenai produk yang bakal diperkenalkan ke pasaran Malaysia.
Lawatan kemudiannya diteruskan ke litar ujian Haojin Motor bagi memberi peluang kepada media menguji sendiri jentera Letbe.





Pada hari terakhir, rombongan media turut dibawa menerokai sisi budaya dan sejarah Guangzhou dengan mengunjungi Gualing Ancient Village, sebuah kawasan bersejarah yang memberikan pengalaman berbeza selepas dua hari mengikuti aktiviti berkaitan industri dan motosikal.


Secara keseluruhannya, lawatan ini memberikan perspektif lebih dekat kepada media Malaysia mengenai keupayaan manufacturing, pembangunan produk serta teknologi yang digunakan oleh pengeluar motosikal China, selain memberi gambaran awal mengenai kemunculan Letbe Motor di pasaran Malaysia.