
Kenyataan terbaharu Dato’ Razlan Razali di platform Facebook terus mengukuhkan keyakinan bahawa Malaysia berada di laluan pembangunan bakat yang tepat menuju ke MotoGP. Penjenamaan semula “Road to MotoGP” oleh DORNA dilihat bukan sahaja sebagai penyelarasan global, tetapi juga sebagai pengiktirafan kepada usaha yang telah dijalankan oleh pelbagai pihak di Malaysia sejak lebih sedekad lalu.
Sejak awal era pembangunan pelumba muda, Malaysia telah mengorak langkah melalui kerjasama industri, penganjur, pasukan, dan penggiat permotoran tempatan. Dato’ Razlan sendiri merupakan salah seorang daripada barisan individu yang terlibat dalam memperkukuh budaya perlumbaan akar umbi, termasuk menyokong konsep one-make race yang ketika itu mula diperkenalkan dan dimanfaatkan sebagai platform menyamaratakan peluang untuk bakat baharu. Konsep tersebut kemudiannya diterapkan secara lebih sistematik apabila SIC melancarkan siri permulaan seperti Kawasaki Ninja Cup.
Malaysia kemudian menjadi peneraju serantau apabila SIC menjalinkan kerjasama dengan DORNA untuk bekersama dalam kejuaraan Asia Talent Cup (ATC), sekali gus menjadikan negara ini pusat pembangunan pelumba Asia Tenggara. Namun, cabaran dalam menarik bakat baharu yang konsisten mendorong SIC dan rakan strategiknya memperkenalkan program tambahan seperti Bucci MiniGP Championship, yang seterusnya berkembang kepada FIM Ohvale MiniGP Malaysia Series. Pelumba dari platform ini kemudian dihantar ke peringkat yang lebih kompetitif seperti ESBK dan Moto3 JuniorGP.
Sepanjang perjalanan, usaha pembangunan bakat ini tidak terlepas daripada kritikan, termasuk dakwaan pembaziran dana dan kekurangan pulangan jangka pendek. Namun hari ini, kemunculan pelumba muda seperti Hakim Danish dan Qabil Irfan menjadi bukti nyata bahawa model pembangunan yang dibina secara konsisten akhirnya membuahkan hasil.
Dato’ Razlan melihat penjenamaan semula Road to MotoGP sebagai satu validasi penting bahawa strategi pembangunan Malaysia selari dengan kerangka antarabangsa: teratur, berperingkat, dan terbukti menghasilkan keputusan sehingga menjadikan rujukan pihak DORNA.
Beliau turut menegaskan bahawa laluan profesional melalui MiniGP, ATC, ESBK dan JuniorGP adalah struktur sebenar untuk bakat yang bermimpi ke MotoGP, bukan jalan pintas yang tidak tersusun.
“Penjenamaan semula Road to MotoGP ini bukti laluan yang Malaysia bina selama ini adalah tepat.,” jelas beliau.
Dengan pengumuman baharu ini, Malaysia bukan sahaja mengikut arus global, tetapi turut berada di barisan negara yang telah lama membangunkan struktur selari dengan standard dunia disamping hasil usaha kolektif komuniti permotoran tanah air.