
MotoGP sekali lagi berdepan potensi perubahan teknikal apabila laporan terbaru mendedahkan bahawa penggunaan leg wings mungkin akan diharamkan seawal musim 2026.
Peralatan aerodinamik yang dipasang di bahagian tengah motosikal, ianya terletak di belakang kaki pelumba, mula mendapat perhatian selepas ia diperkenalkan oleh Aprilia RS-GP dan kemudian diikuti oleh Honda. Namun, komponen ini kini dikatakan bakal disekat atas faktor keselamatan.



Menurut laporan Motor Sport Magazine, satu cadangan mengejut telah dihantar kepada Grand Prix Commission untuk mengharamkan leg wings. Walaupun tiada kecederaan dilaporkan akibat penggunaan komponen tersebut, faktor keselamatan tetap menjadi alasan utama cadangan itu.
Jika sesuatu perubahan peraturan dibentangkan atas dasar keselamatan, ia boleh diluluskan tanpa memerlukan persetujuan sebulat suara daripada lima pengeluar MotoGP.
Cadangan tersebut mencadangkan pengharaman segera terhadap winglet bahagian tengah motosikal itu. Tetapi dengan ujian Valencia tempoh hari yang menandakan permulaan musim 2026 sudah pun selesai, dan perancangan perubahan aerodinamik besar-besaran yang telah ditetapkan untuk tahun 2027, larangan ini berkemungkinan hanya akan berkuat kuasa sepenuhnya pada era baharu 850cc nanti.
Perkembangan ini menandakan satu lagi langkah MotoGP dalam mengawal evolusi aerodinamik supaya selari dengan aspek keselamatan dan persaingan yang lebih seimbang. Fans kini menunggu pengesahan rasmi daripada pihak MotoGP mengenai hala tuju baharu ini.