Antonelli Temui Presiden Itali, Sergio Mattarella

Kimi

Juara Dunia Formula 1 2026, Kimi Antonelli sekali lagi menerima penghormatan istimewa apabila berpeluang mengadakan pertemuan secara tertutup bersama Presiden Itali, Sergio Mattarella pada Jumaat.

Pertemuan penuh bermakna itu menyaksikan Antonelli hadir bersama ahli keluarganya, termasuk kedua-dua ibu bapanya, Marco dan Veronica serta adiknya, Maggie.

Sebagai tanda penghargaan dan penghormatan, Antonelli turut menghadiahkan sebuah topi keledar perlumbaan rasmi miliknya kepada Mattarella. Lebih istimewa, topi keledar berkenaan dihiasi dengan dedikasi tulisan tangan pada bahagian visor yang tertera, “To President Mattarella, with great admiration” (Buat Presiden Mattarella, dengan penuh rasa kagum).

Dalam pertemuan tersebut, Antonelli turut berkongsi pengalaman mengenai tuntutan fizikal yang perlu dihadapi oleh seorang pemandu ketika mengendalikan jentera Formula 1.

Beliau menjelaskan bahawa pemandu boleh kehilangan kira-kira dua kilogram berat badan sepanjang perlumbaan berikutan tekanan fizikal serta suhu tinggi di dalam kokpit.Malah, proses pemulihan selepas perlumbaan turut menjadi sebahagian daripada rutin penting apabila pemandu perlu menjalani sesi rendaman di dalam tab berisi air sejuk bagi membantu memulihkan keadaan fizikal mereka.

Pada kesempatan sama, Antonelli turut mengundang Presiden Mattarella untuk menghadiri salah satu perlumbaan Formula 1 pada musim hadapan dengan Litar Monza menjadi lokasi yang disebut secara khusus.

Mattarella menyambut baik jemputan tersebut dan melahirkan rasa teruja terhadap pencapaian luar biasa Antonelli. Beliau turut mengakui bahawa kejayaan bersejarah pemandu muda itu telah menyemarakkan kembali minatnya terhadap sukan Formula 1.

Kejayaan Antonelli merangkul gelaran Juara Dunia musim 2026 sememangnya membawa makna yang cukup besar buat Itali. Beliau kini menjadi pemandu Itali pertama memenangi kejuaraan dunia Formula 1 sejak legenda negara itu, Alberto Ascari melakukannya pada tahun 1953.

Pertemuan berkenaan bukan sekadar satu pengiktirafan terhadap kejayaan peribadi Antonelli malah turut melambangkan kebanggaan Itali terhadap kemunculan generasi baharu yang berjaya mengembalikan negara itu ke puncak kejuaraan dunia Formula 1 selepas penantian selama lebih tujuh dekad.

Teruskan Bersama Four Wheels..!

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Search

Archives