ZK Racing Pergiat Persiapan Wakil Negara Untuk Ke Valencia

Wandi

Malaysia bakal membawa empat pelumba ke FIM MotoMini World Final 2026 di Valencia, Sepanyol dengan misi memburu gelaran juara dunia buat kali kedua selepas kejayaan Qabil Irfan menjuarai kategori 160cc pada tahun 2023.

Pasukan Malaysia yang dikendalikan ZK Racing di bawah pimpinan Zulfahmi Khairuddin akan mempertaruhkan Qasha Irfan Azlan dan Malek Ridha dalam kategori 190cc, manakala Al-Adam Mikail serta Qaish Isyraf akan bersaing dalam kategori 160cc.

Bagi Qasha dan Al-Adam, ini merupakan penampilan kedua mereka di pentas dunia selepas beraksi dalam kategori 160cc pada edisi tahun lalu. Al-Adam khususnya mempunyai pengalaman tambahan kerana berjaya menamatkan saingan 2025 di kedudukan ke-11 keseluruhan sebelum kembali bersaing dalam kategori sama tahun ini. Pengalaman tersebut memberikan asas untuk meletakkan harapan lebih tinggi terhadapnya pada edisi kali ini.

Bagaimanapun, persiapan ke Valencia memerlukan komitmen kewangan yang besar. ZK Racing menganggarkan sekitar RM300,000 diperlukan untuk menampung penerbangan pergi dan balik pelumba serta krew, penginapan, makanan dan pengangkutan sepanjang kira-kira 10 hari berada di Sepanyol.

Dana tersebut diperoleh melalui tajaan pihak penaja dan dana sukan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Namun, sasaran RM300,000 masih belum dicapai dan ZK Racing sedang berusaha mendapatkan tambahan penaja bagi memastikan perjalanan pasukan berjalan lancar.

Menariknya, pendekatan ZK Racing ini berbeza berbanding kebanyakan negara lain yang lazimnya tidak menanggung perjalanan pelumba ke Valencia. Pelumba dari negara lain kebanyakannya perlu menguruskan perjalanan sendiri sebelum bertemu pengurus pasukan masing-masing di sana. Sebaliknya, ZK Racing menguruskan perjalanan pelumba serta membawa krew Malaysia bersama-sama ke Valencia bagi memastikan operasi pasukan dapat berjalan dengan teratur.

Buat pertama kali, ZK Racing turut menggugurkan peruntukan seorang wakil keluarga bagi setiap pelumba yang sebelum ini disediakan dalam edisi terdahulu. Tahun ini, ibu bapa atau penjaga perlu menanggung sendiri kos perjalanan masing-masing bagi membolehkan pasukan memberi tumpuan kepada keperluan pelumba dan krew.

Dari segi teknikal, jentera perlumbaan dan alat ganti disediakan oleh Dorna selaku penganjur FIM World Series, manakala tayar sudah termasuk dalam yuran kejohanan. Bagaimanapun, ZK Racing perlu menanggung kos alat ganti sekiranya berlaku kerosakan pada jentera pelumba tempatan, terutama selepas kemalangan. Setiap negara juga menyediakan mekanik masing-masing untuk menguruskan jentera sepanjang kejohanan.

Dengan pengalaman yang dimiliki serta kejayaan Malaysia pada 2023, harapan untuk melihat Jalur Gemilang kembali dikibarkan sebagai juara dunia pastinya menjadi motivasi kepada empat wakil negara kali ini. Sasaran ZK Racing adalah membawa pulang gelaran dunia buat kali kedua, tanpa mengira kategori 160cc atau 190cc.

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Search

Archives