
Ai Ogura mengakui kesilapannya ketika berlaku sentuhan dengan Marco Bezzecchi dalam perlumbaan utama MalaysianGP di Sepang, selepas aksi agresifnya ketika cuba merebut kedudukan keempat daripada pelumba Aprilia itu.
Ogura menjelaskan dia tersalah membaca situasi ketika Bezzecchi kembali mengambil laluan ke selekoh, menyebabkan kedua-dua pelumba bersentuhan. Dia turut mengakui sekitar 70 peratus kesalahan berpunca daripadanya dan berhasrat meminta maaf secara peribadi kepada Bezzecchi.
Bezzecchi bagaimanapun tidak mengambil hati dengan insiden tersebut. Dia memahami tindakan Ogura yang ketika itu mempunyai kelajuan lebih baik dan sedang berusaha untuk memintas.
Menurut Bezzecchi, situasi seperti itu adalah perkara biasa dalam perlumbaan. Jika berada di tempat Ogura dengan kelajuan yang sama, dia juga akan cuba melakukan gerakan memintas.
Walaupun insiden itu berpotensi menjejaskan peluangnya dalam perebutan gelaran dunia, Bezzecchi memilih untuk tidak memperbesarkan perkara tersebut dan menganggapnya sebahagian daripada persaingan di litar.