
MotoGP Group mempunyai komitmen kontrak dengan media penyiar rasmi untuk memastikan sekurang-kurangnya 20 perlumbaan disiarkan sepanjang musim. Dengan kalendar 2026 yang pada asalnya merangkumi 22 perlumbaan, setiap pusingan membawa kepentingan besar dalam memenuhi perjanjian komersial tersebut.
Perkara ini menjadi antara faktor penting mengapa pihak penganjur bekerja keras untuk memastikan QatarGP tetap berlangsung tahun ini, meskipun berdepan isu keselamatan dan desakan daripada beberapa pihak untuk tidak hadir.
Bagi peminat, pembatalan QatarGP mungkin dilihat sebagai keputusan yang boleh dibuat demi keselamatan. Namun, dari sudut komersial, kehilangan satu pusingan bukan sekadar mengubah kalendar perlumbaan, malah turut memberi kesan kepada komitmen MotoGP Group terhadap rakan penyiaran di seluruh dunia.
Hak penyiaran merupakan antara sumber pendapatan utama MotoGP. Setiap perlumbaan membawa nilai kepada penyiar rasmi yang telah membayar untuk mendapatkan hak menyiarkan kejuaraan tersebut kepada penonton di negara masing-masing.
Dengan 22 perlumbaan dalam jadual asal dan kontrak penyiaran yang menetapkan minimum 20 perlumbaan, MotoGP Group mempunyai ruang yang sangat terhad untuk kehilangan pusingan sebelum berdepan risiko tidak memenuhi komitmen tersebut.
Inilah antara realiti di sebalik usaha meneruskan QatarGP. Selain memastikan kalendar kejuaraan berjalan seperti dirancang, MotoGP Group turut perlu melindungi kepentingan komersial dan hubungan bersama rakan penyiaran yang menjadi tunjang kepada kelangsungan sukan ini.