
Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. (Mforce) menyerahkan enam unit motosikal daripada tiga model berbeza kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi menjalani program Proof of Concept (PoC) selama tiga bulan.
Majlis penyerahan berlangsung di ibu pejabat Mforce di Valdor, Pulau Pinang, pada 26 Oktober 2026, melibatkan Ketua Pegawai Operasi Mforce, Asri Ahmad, dan Pengarah JSPT, Dato’ Sri Muhammed Hasbullah bin Ali. Turut hadir ialah wakil daripada Jabatan Logistik dan Teknologi (JLOG) PDRM.
Enam unit motosikal yang diserahkan terdiri daripada dua unit bagi setiap model, iaitu CFMOTO 1250TR-G, BRIXTON K750GT dan MOTO MORINI X-CAPE 1200.
Program PoC ini memberi peluang kepada JSPT untuk menguji dan menilai kesesuaian setiap model berdasarkan keperluan operasi serta tugasan harian anggota polis. Penilaian akan berlangsung selama tiga bulan dengan mengambil kira aspek pengendalian, keselesaan tunggangan, fungsi kelengkapan dan kesesuaian motosikal untuk kegunaan pihak berkuasa.
Daripada ketiga-tiga model tersebut, CFMOTO 1250TR-G dan BRIXTON K750GT diketengahkan sebagai motosikal pengiring berkuasa tinggi, manakala MOTO MORINI X-CAPE 1200 menawarkan platform motosikal dwi kegunaan untuk turut dinilai dalam program berkenaan.
Maklum balas yang dikumpulkan sepanjang tempoh percubaan akan digunakan bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan serta penyesuaian yang diperlukan mengikut keperluan sebenar JSPT.
Bagi Mforce, program ini menjadi platform untuk memahami dengan lebih dekat keperluan anggota penguat kuasa yang menggunakan motosikal dalam menjalankan tugas. Hasil penilaian tersebut akan menjadi rujukan bagi menentukan langkah seterusnya sebelum sebarang keputusan berkaitan projek ini dibuat.
Kerjasama antara Mforce dan JSPT PDRM ini turut membuka ruang kepada penilaian lebih menyeluruh terhadap pilihan motosikal yang berpotensi menyokong keperluan operasi penguatkuasaan trafik di Malaysia.
















































