
SHAH ALAM, 23 Oktober 2026 – Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) melancarkan pusat Body & Paint pertamanya di Glenmarie, Shah Alam, bagi memperkukuh perkhidmatan selepas jualan serta menyediakan penyelesaian pembaikan kenderaan yang lebih menyeluruh kepada pelanggan.
Beroperasi sebagai hab pembaikan pelbagai jenama, pusat ini menyokong rangkaian automotif EON yang merangkumi Proton, Mitsubishi, Audi dan kenderaan elektrik smart. Proton e.MAS juga dijangka menyertai portfolio perkhidmatan ini dalam masa terdekat.
Kemudahan berkenaan menawarkan perkhidmatan pembaikan akibat kemalangan, pemulihan badan kenderaan, pengecatan semula serta pelbagai keperluan berkaitan, dengan penekanan terhadap aspek keselamatan, kualiti dan penampilan kenderaan.

Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial, berkata hubungan syarikat dengan pelanggan tidak berakhir selepas kenderaan diserahkan dari bilik pameran, sebaliknya perlu diteruskan sepanjang tempoh pemilikan.
Menurutnya, pembukaan pusat Body & Paint ini membolehkan EON menyediakan pengalaman pemilikan yang lebih menyeluruh, di samping membina kepercayaan pelanggan melalui perkhidmatan yang berkualiti.
Beliau turut menjelaskan bahawa pusat berkenaan beroperasi mengikut prosedur dan proses EON bagi memastikan perkhidmatan selepas jualan yang berkualiti serta menyeluruh.
Dilengkapi 39 Ruang Pembaikan dan Empat Bilik Semburan Cat
Dengan keluasan 41,508 kaki persegi, pusat Body & Paint EON ini merupakan antara kemudahan seumpamanya yang terbesar di negara ini.




Ia dilengkapi 39 ruang pembaikan, tiga bilik pencampuran cat dan empat bilik semburan cat, selain menggunakan teknologi pembaikan moden serta disokong tenaga kerja profesional terlatih.
Satu lagi kelebihan utama ialah pusat ini menerima tuntutan pembaikan akibat kemalangan daripada semua syarikat insurans di Malaysia, sekali gus memberikan lebih banyak kemudahan kepada pelanggan yang memerlukan khidmat pembaikan dan pemulihan kenderaan.
EON Rancang Perluas Rangkaian Body & Paint
EON turut meneroka peluang untuk memperluas rangkaian pusat Body & Paint ke lokasi lain, dengan beberapa perancangan pengembangan sedang dipertimbangkan.
Tumpuan akan diberikan kepada lokasi strategik yang mempunyai kehadiran rangkaian pelbagai jenama EON, bagi memanfaatkan infrastruktur sedia ada, meningkatkan akses kepada perkhidmatan dan memberikan sokongan lebih baik kepada pelanggan.
Pembukaan pusat ini mencerminkan usaha berterusan EON untuk memperkukuh ekosistem selepas jualannya melalui penyelesaian yang mudah diakses, boleh dipercayai dan berorientasikan pelanggan.
Berbekalkan pengalaman lebih empat dekad dalam industri automotif Malaysia, EON terus memperkembangkan peranannya sebagai rakan mobiliti yang bukan sahaja menawarkan kenderaan, malah menyediakan sokongan sepanjang tempoh pemilikan menerusi janji jenamanya, “Passion Drives Possibilities”.
Teruskan Bersama Four Wheels..!

