
Kembalinya Malaysia ke pentas Formula Satu (F1) baru-baru ini kembali menghangatkan perbincangan mengenai masa depan Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Pasukan Mercedes-AMG Petronas Formula One Team menyatakan keterujaan untuk kembali berlumba di litar ikonik itu manakala syarikat teknologi pencahayaan global, Signify, bersedia menawarkan penyelesaian teknologi sekiranya Malaysia berhasrat menganjurkan perlumbaan malam F1.
Timbalan Ketua Pasukan Mercedes, Bradley Lord, menyifatkan Malaysia sebagai destinasi yang mempunyai tempat istimewa di hati pasukan itu malah suasananya seakan-akan perlumbaan di laman sendiri. Beliau mengimbas kembali sambutan luar biasa ribuan peminat ketika Mercedes mengadakan acara promosi di Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur menjelang Grand Prix (GP) Bahrain yang berlangsung di Sepang pada 2 hingga 4 Oktober lalu.
“Ya, sudah tentu. Saya tahu keputusan kami di Sepang tidak begitu memberangsangkan, tetapi kami menikmati hujung minggu yang luar biasa,” katanya ketika menghadiri sesi taklimat media anjuran Mercedes bersama rakan teknologi pencahayaannya, Signify sempena GP Singapura baru-baru ini.
Malaysia menjadi tuan rumah GP Bahrain selepas perlumbaan itu dipindahkan dari Litar Antarabangsa Bahrain di Sakhir susulan konflik di Asia Barat sejak Februari. Perlumbaan berkenaan pada asalnya dijadualkan berlangsung pada April sebelum dipindahkan ke Sepang.
Mengulas lanjut mengenai sambutan peminat di Kuala Lumpur, Lord berkata kehadiran ribuan orang ketika acara promosi tersebut benar-benar meninggalkan kesan kepada pasukan Mercedes.
“Ribuan demi ribuan orang hadir. Saya berbual dengan rakan sekerja di Petronas dan mereka berkata kepada saya, kamu semua seolah-olah telah melumpuhkan seluruh bandar.”
“Bagi kami, Malaysia terasa seperti perlumbaan di laman sendiri. Kami sangat ingin kembali. Mungkin kami juga boleh meminta pihak berkenaan menurap semula permukaan litar. Alangkah baiknya jika kami dapat kembali berlumba di sini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pegawai Eksekutif Signify, As Tempelman menegaskan bahawa keupayaan teknologi bukanlah penghalang sekiranya Malaysia mahu merealisasikan penganjuran perlumbaan malam F1 di Litar Antarabangsa Sepang.
Menurut beliau, Signify yakin mampu menyediakan penyelesaian pencahayaan yang bersesuaian bagi memenuhi keperluan perlumbaan berprestij itu sekiranya cadangan berkenaan mendapat perhatian serius daripada pihak berkaitan.
“Saya berani mengatakan bahawa teknologi bukanlah satu kekangan. Sekiranya Malaysia menganjurkan perlumbaan malam, saya yakin kami mampu mencari penyelesaian yang sesuai,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, Tempelman menjelaskan bahawa keputusan untuk menganjurkan perlumbaan malam bukan semata-mata bergantung pada kemampuan teknologi sebaliknya perlu bermula dengan kesediaan dan perancangan pihak penganjur serta pihak berkuasa.
“Persoalannya ialah apakah yang diinginkan oleh pihak penganjur dan pihak berkuasa daripada acara tersebut. Saya fikir itulah langkah pertama yang perlu diambil sekiranya Malaysia benar-benar mahu menganjurkan perlumbaan malam.
“Sekiranya usaha itu sampai ke tahap tersebut, kami akan memastikan penyelesaian teknologi yang tepat dapat disediakan,” katanya.
Kesediaan Mercedes untuk kembali ke Sepang, ditambah dengan keyakinan Signify terhadap kemampuan teknologi pencahayaan, sekali lagi membuka ruang kepada perbincangan mengenai potensi Malaysia menganjurkan perlumbaan malam F1. Bagaimanapun, sebarang kemungkinan ke arah itu masih bergantung pada keputusan serta perancangan pihak kerajaan.
Teruskan Bersama Four Wheels..!