
Ducati bukan sahaja menguasai kemenangan perlumbaan, malah turut mencatat sejarah apabila menyapu bersih kesemua 12 pole position dalam Kejuaraan Dunia Superbike (WorldSBK) 2026.
Pencapaian ini mengukuhkan lagi dominasi pengeluar dari Itali itu sepanjang musim, dengan jentera Ducati Panigale V4 R menjadi pilihan utama untuk memulakan perlumbaan dari petak pertama di setiap pusingan.
Lebih menarik, Nicolo Bulega menjadi watak utama kejayaan ini apabila meraih 11 pole position daripada 12 pusingan. Pelumba Aruba.it Racing Ducati itu menamatkan musim dengan menyamai rekod Ben Spies yang mencatat 11 pole position dalam satu musim pada 2009.
Pole position terakhir Bulega hadir di Jerez, Sepanyol, apabila beliau mencatat masa 1 minit 36.643 saat. Catatan itu meletakkannya di hadapan Sam Lowes dan rakan sepasukannya, Iker Lecuona.
Ducati turut menyamai pencapaian bersejarahnya pada 1992 apabila berjaya meraih semua pole position dalam satu musim. Bezanya, pada 2026, kejuaraan ini berlangsung dalam format 12 pusingan dengan 12 sesi Superpole.
Apabila digabungkan dengan kejayaan memenangi kesemua 36 perlumbaan musim ini, pencapaian tersebut memperlihatkan penguasaan Ducati dari sesi kelayakan hingga ke garisan penamat.