
SETIA ALAM, 18 Oktober 2026 – Aveta Malaysia memperkenalkan Falcon 180, sebuah skuter berkonsepkan pengembaraan yang menggabungkan reka bentuk lasak, kelengkapan moden dan kepraktisan untuk kegunaan harian. Model baharu ini diperkenalkan sempena Aveta Mega Gathering 2026 yang berlangsung di Setia City Convention Centre, Setia Alam, Selangor.
Direka untuk memenuhi keperluan penunggang yang gemarkan pengembaraan, perjalanan jarak jauh dan aktiviti hujung minggu, Aveta Falcon 180 turut menawarkan ciri yang sesuai untuk perjalanan harian. Ia juga menyasarkan penunggang yang mahu beralih daripada motosikal berkapasiti lebih kecil kepada skuter dengan keupayaan dan kelengkapan lebih menyeluruh.
Enjin 174cc dengan Kuasa 13.6 kW
Aveta Falcon 180 dikuasakan enjin 174cc empat injap dengan sistem penyejukan cecair serta suntikan bahan api elektronik Bosch. Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 13.6 kW dan tork 17.2 Nm, dengan kuasa disalurkan melalui transmisi automatik CVT bagi memudahkan tunggangan.
Gabungan ini menjadikan Falcon 180 sebuah skuter yang menawarkan kemudahan transmisi automatik, di samping ciri yang memenuhi keperluan perjalanan harian dan pengembaraan.
Kelengkapan untuk Laluan Pengembaraan
Bagi menyokong keupayaan meredah pelbagai permukaan jalan, Falcon 180 dilengkapi fork hadapan jenis terbalik (upside-down), penyerap hentak belakang dengan takungan gas luaran serta kelegaan tanah setinggi 140mm.
Kedudukan pemijak kaki kedua turut membolehkan penunggang berdiri ketika melalui laluan luar jalan. Ciri ini membantu penunggang menyesuaikan kedudukan badan dan mengalihkan berat ketika berhadapan permukaan tidak rata.
Dari aspek keselamatan, Falcon 180 dilengkapi sistem brek ABS dwi saluran serta sistem kawalan cengkaman (TCS) yang boleh dihidupkan atau dimatikan mengikut keperluan penunggang.
Hendal dan penghadang angin yang boleh dilaraskan turut disediakan bagi memberikan lebih fleksibiliti ketika menunggang.
Skrin TFT 7 Inci, Kamera Hadapan dan Tangki 14 Liter
Selain kelengkapan pengembaraan, Aveta Falcon 180 turut menawarkan beberapa ciri moden untuk meningkatkan kemudahan penggunaan harian.
Antara kelengkapan yang disediakan ialah skrin sentuh TFT bersaiz tujuh inci, kamera rakaman hadapan terbina dalam serta sistem kunci pintar. Tangki bahan api berkapasiti 14 liter pula melengkapkan pakejnya untuk kegunaan harian dan perjalanan lebih jauh.
Skuter ini turut dilengkapi ruang simpanan yang luas, sistem pencahayaan LED sepenuhnya dan Sistem Henti Melahu (ISS) yang boleh dihidupkan atau dimatikan mengikut pilihan penunggang.
Tiga Pilihan Warna



Aveta Falcon 180 ditawarkan dalam tiga pilihan warna, iaitu Storm Grey, Sahara Bronze dan Alpine White.
Menerusi gabungan enjin 174cc, kelengkapan keselamatan, ciri moden dan komponen yang menyokong tunggangan pengembaraan, Falcon 180 hadir sebagai pilihan untuk penunggang yang mahukan sebuah skuter serba guna bagi perjalanan harian serta aktiviti hujung minggu.
Untuk maklumat lanjut mengenai Aveta Falcon 180, layari laman web rasmi Aveta Malaysia di www.aveta.com.my.
Teruskan Bersama Two Wheels..!



















