
Pada awal Februari lalu, pelumba muda Sepanyol, Pedro Acosta, dijemput ke ‘La Ravuelta’, sebuah program bual bicara berunsur komedi yang dikendalikan komedian terkenal, David Broncano. Dalam segmen tersebut, Acosta diminta mengulas tentang rakan seperjuangannya, Marc Marquez, lapan kali juara dunia.
Tanpa berfikir panjang dan terikut suasana santai rancangan, Acosta menjawab,
“Siapa? Saya hanya fokus pada diri sendiri. Saya tak mahu tahu apa-apa tentang grid MotoGP. Saya makan dalam senyap, makan dua kali. Tahun ini soal seks dan rock and roll.”
Gurauan itu bagaimanapun disalah erti ramai peminat yang menganggapnya sombong dan angkuh. Sejak pada itu, akaun media sosial Pedro Acosta kerap dibanjiri komen sinis “Who?” setiap kali prestasinya kurang memuaskan.
Dalam temu bual bersama Mundo Deportivo pada 19 April 2025, Acosta meluahkan rasa terkejut kerana ucapannya disalah tafsir. Beliau menegaskan bahawa hubungannya dengan Marquez kekal baik dan tiada sebarang konflik.
“Sangat mudah salah tafsir sesuatu. Apa yang anda lihat itulah hakikatnya. Tidak ada niat tertentu dan memang tiada apa-apa di sebaliknya. Selagi saya selesa, begitulah saya,” jelas juara dunia Moto3 2021 dan Moto2 2023 itu.
Acosta turut mengingatkan peminat bahawa ‘La Ravuelta’ adalah program komedi, bukan sesi wawancara serius seperti ‘El Hormiguero’ yang dikendalikan Pablo Motos.
“Ramai yang keliru. Anda kena tahu beza antara program komedi dan program serius,” tambahnya.