VR46 Racing Team Terbangkan Garuda Dengan Livery Khas GP Indonesia

Pertamina Enduro VR46 Racing Team tampil dengan penampilan istimewa sempena Pertamina Indonesian GP di Litar Antarabangsa Pertamina Mandalika apabila memperkenalkan livery khas yang memberi penghormatan kepada Indonesia dan simbol kebangsaannya, Garuda.

Livery khas itu diperkenalkan di ibu pejabat Pertamina Lubricants di Jakarta dan menjadi tahun ketiga berturut-turut pasukan berpangkalan di Tavullia, Itali itu menggunakan rekaan khas sempena perlumbaan di Indonesia.

Garuda dipilih sebagai tema utama bagi menggambarkan hubungan erat antara Pertamina Enduro VR46 Racing Team dengan Indonesia, yang dianggap sebagai antara lokasi penting buat pasukan tersebut.

Garuda yang berasal daripada mitologi Hindu dan Buddha dikenali sebagai vahana atau tunggangan Dewa Vishnu. Dalam tradisi Indonesia, Garuda kemudiannya menjadi simbol negara menerusi Garuda Pancasila, bersama semboyan Bhinneka Tunggal Ika yang membawa maksud perpaduan dalam kepelbagaian.

Menurut pasukan, semangat juang dan keberanian yang dikaitkan dengan Garuda turut mencerminkan nilai yang dikongsi bersama Pertamina Enduro VR46 Racing Team.

Bagi perlumbaan di Mandalika, imej Garuda direka seolah-olah sedang mengembangkan sayapnya pada kedua-dua sisi Ducati Desmosedici GP, manakala bahagian kepala Garuda ditempatkan pada tangki bahan api.

Warna merah dan putih, yang sinonim dengan bendera Indonesia, mendominasi rekaan tersebut. Warna putih digunakan sebagai latar utama, manakala merah membentuk imej Garuda, sebelum dilengkapkan dengan elemen api berwarna emas.

Warna kuning fluoresen ikonik Pertamina Enduro VR46 Racing Team pula kekal pada bahagian hadapan jentera, menghasilkan gabungan visual antara identiti pasukan dan warna kebangsaan Indonesia.

Seperti rekaan khas pasukan sebelum ini, livery berkenaan dihasilkan oleh Aldo Drudi dan Drudi Performance.

Bukan jentera sahaja yang menerima sentuhan khas. Untuk Pertamina Indonesian GP, pasukan turut memperkenalkan koleksi kapsul khas Kappa yang menampilkan Garuda dengan kombinasi warna sama seperti livery perlumbaan.

Topi khas dengan tema warna yang sama turut diperkenalkan dan koleksi tersebut boleh didapati menerusi Kappa serta VR46 Tribe.

Dengan livery Garuda ini, Pertamina Enduro VR46 Racing Team sekali lagi membawa elemen budaya dan identiti Indonesia ke pentas MotoGP, ketika saingan berlangsung di Mandalika.

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Search

Archives