
Langkah terbaru Aprilia Racing semasa Sepang Test tempohari mungkin menandakan fasa baharu dalam peperangan aerodinamik MotoGP. Jika sebelum ini fokus utama adalah menambah ‘downforce’ dan kestabilan, pendekatan kali ini kelihatan lebih strategik, malah sangat defensif. Aprilia bukan sekadar mahu pergi lebih laju, tetapi cuba menjadikan lawan di belakang lebih sukar untuk menyerang.
Di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, Aprilia dilihat telah menguji dua konfigurasi bahagian belakang yang sangat berbeza, satu rekaan bersih dengan sirip minimum dan satu lagi struktur kompleks dengan pelbagai elemen melengkung. Objektifnya sangat jelas iaitu memanipulasi aliran udara dan menghasilkan ‘turbulens’ yang mengganggu pelumba di belakang ketika berada dalam ‘slipstream’.
Secara tradisional, sayap belakang digunakan untuk kestabilan dan cengkaman ketika keluar selekoh. Namun kini jurutera mula melihat aero anti ‘slipstream’ ini sebagai senjata taktikal. Pendekatan ini mengingatkan perdebatan lama dalam Formula One, di mana ‘turbulens’ pernah menjejaskan peluang memotong.
Walaupun MotoGP Entertainment Sports merancang pengurangan signifikan elemen aerodinamik menjelang regulasi 850cc pada 2027, ujian ini menunjukkan pengeluar terus memaksimumkan setiap ruang peraturan. Dalam konteks persaingan sengit menentang Ducati, jentera Aprilia RS-GP sekali lagi membuktikan reputasinya sebagai platform paling berani dari segi eksperimen aliran udara. Persoalannya kini, adakah MotoGP sedang menuju era dominasi jurutera atau masih kekal sebagai gelanggang duel kemahiran pelumba?