Sym ADXTG 400 – Adventure Scooter Dengan Jiwa Touring

Toshi

SYM muncul dengan kejutan besar melalui model ADXTG 400, sebuah skuter yang menentang norma. Ia tampil dengan gaya “adventure”, tetapi karakter sebenarnya lebih hampir kepada motosikal ‘touring’ bandar yang matang. Bagi ramai penunggang yang sudah mencubanya, ADXTG bukan sekadar maxi-scooter 400cc, tetapi satu eksperimen berani yang berjaya menggabungkan keselesaan, tenaga dan kelincahan dalam satu pakej unik.

Di atas kertas, angka 34.5hp dan 37Nm mungkin tidak mengejutkan, tetapi bila ‘throttle’ dipulas, ADXTG memberikan ‘respons’ pantas dan bertenaga. Kuasa enjin satu silinder 399cc ini tidak sekadar cukup, ia terasa hidup dan spontan, menjadikan skuter ini mudah mencilok trafik walaupun bersaiz besar. Dengan pusat graviti yang diletak di tengah rangka, karekter tunggangannya lebih mirip motosikal ‘touring’ sebenar daripada skuter konvensional. Ia terasa stabil, tidak “top-heavy”, dan mudah dikawal di selekoh atau ketika menukar laluan dalam kesesakan bandar.

Namun, tidak ada produk yang sempurna. ADXTG 400 datang dengan kelemahan yang nyata iaitu ‘ground clearance’ yang rendah. Dengan hanya sekitar 150mm, bahagian bawahnya mudah bergesel dengan bonggol jalan apabila ditunggang berdua, lebih-lebih lagi jika suspensi belakang tidak dilaras semula. Suspensi belakang yang agak lembut dalam tetapan standard menjadikan situasi ini lebih ketara. Ia bukan isu besar untuk ‘solo rider’, tetapi untuk yang kerap membawa pembonceng, pelarasan ‘preload’ atau penukaran kepada penyerap hentak ‘aftermarket’ mungkin menjadi keperluan.

Dari aspek ergonomik, kedudukan ‘seat’ dan ‘handlebar’ memberi rasa santai untuk perjalanan jauh. Namun, bagi penunggang dengan ketinggian sederhana, tapak kaki mungkin tidak mencecah lantai sepenuhnya ketika berhenti. Walau begitu, reka bentuk keseluruhan terasa matang dan premium dengan kehadiran suspensi USD, monoshock multilink, ABS dua saluran, Traction Control System yang boleh dinyahaktifkan, serta sistem kunci pintar menjadikannya lengkap sebagai skuter harian moden.

SYM ADXTG 400 pada asasnya bukan sebuah skuter yang mahu menakluki laluan ‘off-road’ ekstrem, walaupun tampil dengan gaya ‘adventure’. Ia dicipta untuk mereka yang mahukan keselesaan sebuah maxi-scooter, kestabilan touring bike, dan imej penjelajah jalanan dalam satu pakej. Dengan harga sekitar RM29,888, ia memberikan nilai luar biasa bagi penunggang yang mahukan kelainan, bukan sekadar ke tempat kerja, tetapi menikmati setiap kilometer perjalanan.

Di dunia nyata, ADXTG 400 bukanlah skuter untuk semua orang. Ia bukan yang paling ringan, bukan juga paling lasak, tetapi bagi mereka yang memahami karakter uniknya, ini adalah jentera yang membuatkan setiap perjalanan terasa seperti sebuah ekspedisi kecil di tengah kesibukan kota.

Teruskan bersama Two Wheels..!

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp

Search

Archives