
KUALA LUMPUR, 16 Oktober 2026 – Kemunculan semula aksi permotoran antarabangsa di Sepang selepas sembilan tahun membuka peluang kepada Shell Malaysia untuk mendekatkan peminat tempatan dengan Scuderia Ferrari HP menerusi kempen Shell V-Power yang berjaya menarik penyertaan ribuan peminat.
Dibangunkan bersama agensi kreatif utama GrowthOps Asia serta rakan kerjasama lain, kempen ini menggabungkan aktiviti media sosial, kerjasama dengan pencipta kandungan, pengalaman di stesen minyak dan aktivasi fizikal sepanjang hujung minggu perlumbaan pada 2 hingga 4 Oktober 2026.
Antara tarikan utama kempen ini ialah penghasilan dua rekaan jaket berinspirasikan batik Malaysia untuk pemandu Scuderia Ferrari HP, Lewis Hamilton dan Charles Leclerc. Dihasilkan bersama pereka tempatan Jeffrey Goh dari Inisaya, rekaan tersebut menggabungkan hampir 600 komen dan mesej daripada peminat Malaysia sebagai penghormatan istimewa kepada kedua-dua pemandu berkenaan.
Inisiatif itu bermula apabila Shell mengajak rakyat Malaysia meninggalkan pesanan buat Hamilton dan Leclerc. Lebih 1,000 peminat mengambil bahagian, menjadikan sokongan mereka sebahagian daripada rekaan yang mencerminkan identiti serta kreativiti tempatan.
Jaket berkenaan kemudian disampaikan kepada kedua-dua pemandu ketika penampilan khas bersama pemenang peraduan sebelum dipamerkan sepanjang tiga hari aktivasi Shell V-Power.
Daripada Teka-teki Media Sosial kepada Pengalaman Eksklusif
Kempen ini bermula dengan Shell mengajak rakyat Malaysia meneka satu “rahsia besar”. Ratusan peserta yang berjaya meneka bahawa Shell menawarkan pengalaman istimewa bersama tetamu khas menerima respons kejutan secara langsung menerusi mesej peribadi.
Dari 24 Ogos hingga 20 September 2026, rakyat Malaysia turut berpeluang mengumpul penyertaan melalui aplikasi Shell untuk memenangi pelbagai ganjaran, termasuk pas hujung minggu perlumbaan, pengalaman di sebalik tabir dan peluang menghadiri penampilan khas pemandu Scuderia Ferrari HP.
Sepanjang aktivasi berlangsung, ratusan peminat mengunjungi ruang aktivasi Shell V-Power untuk menikmati pengalaman eksklusif dan melihat sendiri bagaimana mesej mereka diterjemahkan kepada rekaan jaket khas buat Hamilton dan Leclerc.
Kemeriahan turut berlanjutan di media sosial apabila pencipta kandungan berkongsi pengalaman masing-masing sehingga menjana ratusan ribu tontonan. Monumen pemandu Scuderia Ferrari HP yang ditempatkan di beberapa stesen Shell juga menjadi tarikan kepada peminat untuk bergambar.
Penglibatan Peminat Pacu Prestasi Kempen
Menurut Pengurus Besar GrowthOps Asia, Chris Greenough, sukan permotoran kini berkembang melangkaui apa yang berlaku di litar, malah menjadi sebahagian daripada budaya dan hiburan yang membuka lebih banyak peluang untuk jenama berinteraksi dengan peminat.
Beliau berkata, matlamat kempen tersebut adalah untuk memberikan pelbagai cara kepada rakyat Malaysia menyertai pengalaman berkenaan, daripada menerima mesej kejutan daripada Shell dan merebut akses eksklusif, sehinggalah menyumbang idea untuk menghasilkan penghormatan bercirikan Malaysia kepada pasukan.
Greenough turut menyifatkan kebangkitan Hamilton dan Leclerc untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dan keempat sebagai penutup yang bermakna kepada pengalaman tersebut, lebih-lebih lagi apabila Hamilton turut menyampaikan penghargaan kepada penonton.
Dari sudut perniagaan, kempen berkenaan bukan sahaja berjaya melibatkan ribuan pelanggan Shell, malah membantu meningkatkan jualan Shell V-Power. Minat carian dan perbualan media sosial berkaitan produk tersebut juga mencatatkan peningkatan hampir 200 peratus.
Pengurus Besar Shell Mobility and Convenience Malaysia, Zairi Dzuljastri, berkata kemunculan semula acara permotoran antarabangsa di Sepang merupakan detik penting bagi komuniti permotoran Malaysia dan peluang unik untuk membawa pelanggan lebih dekat dengan Scuderia Ferrari HP.
Menurut beliau, kerjasama jangka panjang antara Shell dan Scuderia Ferrari HP membolehkan kedua-dua pihak menghasilkan pengalaman yang melangkaui apa yang biasanya dapat dinikmati peminat dari tempat duduk penonton.
Hubungan itu turut berteraskan perkongsian dalam prestasi dan inovasi, termasuk pembangunan bahan api serta pelincir berprestasi tinggi.
Kempen ini meneruskan legasi kerjasama inovasi Shell bersama Scuderia Ferrari HP yang telah berlangsung selama lebih 75 tahun, merangkumi kerjasama teknikal dan pembangunan bersama bahan api serta pelincir berprestasi tinggi.
Shell turut meneruskan kempen tersebut menerusi perkongsian rakaman di sebalik tabir, pengalaman peminat dan detik istimewa bersama pemandu di platform media sosialnya.
Teruskan Bersama Four Wheels..!





